FGV lancarkan program kelestarian tingkatkan taraf hidup peneroka Felda | DagangNews Skip to main content

FGV lancarkan program kelestarian tingkatkan taraf hidup peneroka Felda

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - FGV Holdings Berhad melancarkan program kelestarian dan hak asasi manusia bagi meningkatkan taraf hidup peneroka Felda dan pekebun kecil bebas.

 

Pengeluar minyak sawit mentah itu berkata, usaha tersebut dapat meningkatkan pendapatan golongan pekebun kecil Felda menerusi galakan kepada amalan pertanian mampan.

 

“Sebagai sebahagian daripada komitmen kelestarian minyak sawit, kami menyokong sepenuhnya Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). 

 

“Dengan memastikan semua kilang dan ladangnya diperakui MSPO, serta membekalkan pekebun kecil dengan keperluan mematuhi skim pensijilan yang berkaitan.

 

“Langkah ini penting untuk memastikan produk minyak sawit memenuhi kehendak pasaran global yang semakin menitikberatkan kelestarian.

 

FGV juga merupakan ahli aktif dalam Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan menyokong Felda dalam usaha mendapatkan pensijilan RSPO. 

 

Katanya, pensijilan tersebut akan memberi peluang kepada pekebun kecil mengakses pasaran premium, meningkatkan pendapatan dan menggalakkan amalan pertanian yang mampan.

 

Selain itu, FGV juga akan melancarkan kempen kesedaran, program jangkauan, serta menawarkan nasihat teknikal dan latihan dalam agronomi untuk membantu mereka mematuhi piawaian kemampanan.

 

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan FGV, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim, menekankan peranan pensijilan kelestarian dalam industri. 

 

“FGV memproses lebih daripada 18 juta metrik tan tandan buah segar (FFB) setiap tahun, di mana 72% hasil peneroka Felda dan pekebun kecil bebas.

 

“Selain daripada melindungi alam sekitar dan menjamin ketahanan jangka panjang amalan pertanian, pensijilan itu akan meningkatkan kebolehpasaran produk yang diperakui menarik minat pembeli yang prihatin terhadap isu kelestarian.

 

“Skim itu juga turut merangkumi kriteria sosial seperti amalan buruh yang adil dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya. 

 

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Masyarakat Felda, Dato' Mohd Banuri Aris, berkata, kerjasama antara Felda dan FGV telah membawa banyak manfaat kepada peneroka, termasuk peningkatan produktiviti, akses pasaran yang lebih luas dan amalan kemampanan yang lebih baik. 

 

“Program latihan dan sokongan teknikal yang dijalankan oleh FGV telah membantu peneroka memenuhi piawaian kelestarian serta meningkatkan amalan pertanian mereka,” ulas beliau.


 
Sementara itu, kerjasama FGV dan Felda juga memberi fokus kepada projek sokongan komuniti, termasuk penambahbaikan infrastruktur perladangan. - DagangNews.com