Filipina makin hampir beli pesawat tempur termoden Saab Gripen, Malaysia pula terkial-kial dapatkan jet terpakai | DagangNews Skip to main content

Filipina makin hampir beli pesawat tempur termoden Saab Gripen, Malaysia pula terkial-kial dapatkan jet terpakai

Pesawat tempur Saab JAS Gripen yang bakal dibeli Filipina.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 29 Mei - Pada masa Malaysia masih berkira-kira untuk mendapatkan pesawat pejuang Hornet terpakai berusia lebih 20 tahun dari Kuwait, negara jiran Filipina sebaliknya.

 

Manila kini selangkah untuk membeli pesawat pejuang pelbagai peranan (MRF), Saab JAS-39 Gripen apabila memeterai perjanjian dengan Sweden.

 

Kedua-dua negara menandatangani perjanjian penting untuk menyokong rancangan perolehan pesawat tempur MRF untuk Tentera Udara Filipina (PAF).

 

Menerusi perjanjian ini, ia menyediakan rangka kerja untuk Filipina membeli peralatan pertahanan buatan Sweden.

 

Pesawat
Wakil kerajaan Filipina dan Sweden memeterai kerjasama bagi persediaan untuk meneruskan proses menjual pesawat tempur Saab JAS Gripen.

 

Kedua-dua negara menandatangani perjanjian itu pada 17 Mei lalu memetik Kedutaan Sweden di Manila dalam laman Facebook rasminya. 

 

Kerjasama logistik itu adalah sebahagian daripada komitmen kedua-dua negara susulan satu lagi kerjasama yang ditandatangani pada 3 Jun 2023.

 

Ia dimeterai pada luar Dialog Shangri-La di Singapura tahun lepas.

 

Filipina memerlukan 12 buah pesawat MRF, tambah menarik tawaran Sweden ini termasuk pakej membeli pesawat pemerintahan dan radar amaran awal (AEW&C) jenis Erieye.

 

Pesawat
Pakej yang ditawarkan kepada Filipina termasuk pesawat AEW&C untuk memantapkan pengawasan ruang angkasa.

 

Tawaran Saab ini sama sepertimana yang diberikan kepada Thailand sebelum ini.

 

Dengan adanya perjanjian berkenaan, peluang kini terbuka untuk syarikat pertahanan Sweden mengambil bahagian dalam perolehan bagi pertahanan Filipina.

 

MoU ini dimeterai menjelang lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pål Jonson ke negara itu minggu depan.

 

Ia sebagai sebahagian daripada perubahan tiga negara selama seminggu di Asia-Pasifik.

 

Semasa melobi program pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 10 tahun lalu, tawaran serupa diberikan Saab kepada Malaysia namun tiada kata putus diberikan.

 

Pesawat
Malaysia dalam usaha mendapatkan pesawat pejuang terpakai Hornet Kuwait yang berusia lebih 20 tahun.

 

Pesawat
Filipina memerlukan pesawat tempur seperti JAS Gripen untuk mengawal perbatasan negaranya yang luas.

 

Sekiranya kerajaan Malaysia menerima tawaran tersebut, sudah pasti TUDM ketika ini telah pun mempunyai pesawat AEW&C yang sangat diperlukan untuk pengawasan ruang angkasa.

 

Lebih mengecewakan apabila perolehan peserta MRCA TUDM terpaksa ditangguhkan tahun demi tahun atas alasan kerajaan perlu mengutamakan perkara lain.

 

Dalam keadaan TUDM kekurangan pesawat tempur, maka opsyen yang dilihat ketika ini adalah mendapatkan pesawat terpakai dari Kuwait, itupun jika negara Teluk itu bersetuju.

 

JAS-39 Gripen merupakan satu daripada dua pesaing untuk projek MRF Filipina dengan jet pejuang lain ialah Lockheed Martin F-16 Viper buatan Amerika Syarikat (AS).

 

Bagaimana pun, cadangan untuk membeli pesawat F-16 Blok 70/72 bernilai AS$2.4 bilion telah ditolak kerana terlalu mahal.

 

Pesawat

 

Pada Ogos tahun lalu, Sweden sekali lagi menawarkan pesawat pejuang Saab JAS 39 Gripen untuk keperluan pemodenan PAF.

 

Sweden sebelum itu telah menyatakan komitmen negara itu untuk terlibat secara langsung dalam program pembangunan pertahanan Filipina.

 

Ini termasuklah sokongan terhadap usaha Manila melindungi integriti wilayah dan kepentingan wilayah negara dengan lebih berkesan dalam Zon Ekonomi Eksklusif. - DagangNews.com