FIMM tegur bekas perunding UTS, PRS benarkan pelabur tandatangan awal borang transaksi  | DagangNews Skip to main content

FIMM tegur bekas perunding UTS, PRS benarkan pelabur tandatangan awal borang transaksi 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) baru-baru ini menegur bekas seorang perunding Skim Amanah Saham (UTS) dan seorang bekas perunding Skim Persaraan Swasta (PRS) atas salah laku membenarkan pelabur menandatangani awal borang borang transaksi.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, persatuan itu berkata, Liew Kim Tchiu didakwa membenarkan pelabur menandatangani awal tiga borang transaksi berhubung dengan pelaburan UTSnya pada Oktober 2019.

 

Borang-borang tersebut kemudiannya digunakan untuk melabur kedalam UTSnya pada 8, 11 dan 14 November 2019.

 

Menurut FIMM, tindakan perunding itu melanggar peraturannya bagi menjalankan setiap urusan pelaburan dengan berhati-hati, kemahiran dan ketekunan.

 

“Dalam hal ini, perunding tidak seharusnya meminta atau membenarkan pelabur untuk menandatangani atau mencetak ibu jari sebarang awal borang yang berkaitan dengan pelaburan mereka," katanya. 

 

FIMM berkata, teguran awam itu dikenakan untuk menghantar mesej keras bahawa FIMM akan mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal mematuhi mana-mana peraturan yang dikeluarkan oleh FIMM.


 
"Ini adalah untuk menghalang perunding UTS dan/atau PRS daripada melakukan sebarang salah laku dan mengingatkan mereka untuk mematuhi peraturan FIMM apabila memasarkan dan mengedarkan UTS dan/atau PRS di Malaysia bagi melindungi kepentingan orang ramai yang melabur," ujarnya.- DagangNews.com