Firefly lancar jualan tiket operasi penerbangan ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu dari Subang mulai 22 Julai 2024 | DagangNews Skip to main content

Firefly lancar jualan tiket operasi penerbangan ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu dari Subang mulai 22 Julai 2024

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai - Firefly, anak milik syarikat Malaysia Aviation Group (MAG), melancarkan penjualan tiket penerbangan ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu dari Subang mulai 22 Julai 2024.  

 

Dalam kenyataan medianya, Firefly berkata, para penumpang boleh menikmati tambang serendah RM129 bagi penerbangan satu hala dari Subang ke Pulau Pinang dan haluan yang sama ke Kota Kinabalu berharga RM249.

 

Katanya, tambang itu khas bagi penerbangan bermula 29 Ogos 2024 sehingga 6 Ogos 2025, termasuk bagasi daftar masuk sebanyak 10kg, 7kg bagasi kabin dan minuman percuma di dalam penerbangan. 

 

Firefly akan mengendalikan penerbangan ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu menggunakan Boeing 737-800 miliknya sebanyak tujuh kali seminggu. 

 

Kini, Firefly mengendalikan lebih 2,100 penerbangan mingguan ke lapan destinasi tersedia, menggabungkan turboprop dan perkhidmatan jet. 

 

Di samping itu, firefly menegaskan komitmennya terhadap ketersambungan termasuk operasi eksklusifnya ke Lapangan Terbang Seletar (XSP) dan Lapangan Terbang Changi, menawarkan alternatif yang mudah serta memastikan pengalaman perjalanan pantas dan lancar kepada pelanggan. 


 
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Izham Ismail, berkata, pengenalan operasi jet Firefly dari Subang mewakili peningkatan strategik kepada rangkaian syarikat itu.

 

“Ia melengkapkan perkhidmatan turboprop ATR72 sedia ada kami dan memastikan sambungan tanpa gangguan.  

 

Beliau juga yakin jadual ATR72 pada masa ini tidak akan terjejas menjelang Ogos. 

 

“Inisiatif ini menyerlahkan komitmen MAG untuk mengembangkan pilihan perjalanan dan mengukuhkan ketersambungan merentasi rangkaian kami,” ujarnya. 


 
Sementara itu, Firefly akan mengendalikan penerbangan itu mengikut perjalanan tersedia ATR72 ke Pulau Pinang yang beroperasi sebanyak sembilan kali sehari. 

 

Oleh itu, tambahan penerbangan itu meningkatkan jumlah penerbangan Subang dan Pulau Pinang kepada 10 kali setiap hari menjelang Ogos tahun ini.- DagangNews.com