Firma Malaysia pilih tawaran persendirian sejak ekonomi merosot | DagangNews Skip to main content

Firma Malaysia pilih tawaran persendirian sejak ekonomi merosot

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Syarikat-syarikat di Malaysia lebih memilih untuk melakukan tawaran persendirian (private placement) bagi meningkatkan dana ekoran penyenaraian awam bon dan saham merosot selain bank mengurangkan pinjaman mereka. 

Menurut data dikeluarkan Bloomberg, saham di Asia Tenggara menyaksikan 151 tawaran dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020, berbanding 76 pada tempoh sama pada tahun lalu.

Jumlah pula melonjak sebanyak 25% kepada RM1.14 bilion (AS$339 juta). 

Bagi syarikat yang kekurangan tunai, tawaran persendirian membolehkan mereka meningkatkan tunai dengan cepat menerusi tawaran secara terus kepada pelabur walaupun nilainya lebih rendah berbanding tawaran menerusi pasaran awam. 

Situasi pengumpulan dana semakin berkurangan memandangkan ekonomi Malaysia yang dipacu sektor eksport merosot teruk sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1998. 

Ditambah pula dengan kejatuhan harga komoditi, penguncupan ekonomi mengehadkan aliran tunai dan perolehan syarikat.

Sehubungan itu, kebanyakan syarikat yang melaksanakan tawaran persendirian berdepan kerugian pada suku tahunan baru-baru ini dan dijangka kekal lemah pada beberapa bulan mendatang, demikian ramalan Pengarah Pelaburan rantau Asia Tenggara di PT Aberdeen Standard Investments Indonesia, Bharat Joshi.

 

Bharat Joshi
Bharat Joshi

 

“Institusi perbankan dijangka tidak melanjutkan pinjaman kepada syarikat-syarikat ini yang menyebabkan mereka melaksanakan tawaran persendirian daripada membayar jumlah besar dalam pasaran bon,” kata Joshi menurut Bloomberg. 

Syarikat-syarikat di Malaysia tidak ketinggalan apabila turut berdepan situasi pembiayaan yang terhad.

Firma Malaysia hanya berjaya mengumpulkan RM4.15 bilion di pasaran saham tempatan menerusi penawaran primer dan sekunder setakat 30 September, merosot sebanyak 43% daripada tempoh sama tahun lalu. 

“Tawaran persendirian mungkin berterusan menjadi langkah menarik untuk meningkatkan dana bagi syarikat senarai awam, tertakhluk kepada kesediaan pelabur tanpa mengira keadaan pasaran ekuiti,” ujar Pengarah Eksekutif Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Roslan Tik. - DagangNews.com