KUALA LUMPUR 29 Julai - Firma pusat data AS Equinix membeli tanah bernilai RM23 juta dari Cyberview Sdn Bhd bagi mengembangkan kapasiti pusat datanya dia Malaysia berikutan pelancaran International Business Exchange TM (IBX) di Kuala Lumpur dan Johor.
Equinix berkata pelaburan itu merupakan hasil peningkatan permintaan untuk perkhidmatan pusat data berprestasi tinggi yang boleh dipercayai di Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas.
Antara faktor perkembangan pasaran pusat data di Malaysia termasuk lokasi strategik, dasar kerajaan kukuh dan permintaan infrastruktur digital yang semakin meningkat.
Memandangkan Asia Tenggara bakal menjadi hab digital penting, ia merupakan peluang penting bagi Malaysia muncul sebagai pemain utama serta mengukuhkan ekonomi berpendapatan tinggi dipacu secara digital.
Selain itu, faktor seperti kestabilan geopolitik, tenaga kerja mahir, ketersambungan baik dan tumpuan pada sumber tenaga boleh diperbaharui mendorong pasaran pusat data di Malaysia.
Katanya, sektor digital yang dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan terkompaun (CAGR) sebanyak 14% dan mencapai anggaran AS$3.97 bilion menjelang 2029.
Dengan keluasan 14,300 meter persegi, Hab Teknologi Global Malaysia di Cyberjaya akan berfungsi sebagai pelengkap strategik kepada KL1, membolehkan Equinix mempertingkatkan lagi ekosistemnya di Malaysia untuk memenuhi pelbagai rangkaian dan penyedia perkhidmatan awan, serta perusahaan yang merangkumi pelbagai industri.
Turut hadir semasa majlis pertukaran dokumen antara Equinix dan Cyberview ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, Selangor menyasarkan untuk mempercepatkan langkah pendigitalan ekonomi negeri, serta menjelaskan pusat data adalah komponen utama tulang belakang ekonomi digital.
"Pelaburan Equinix yang terkenal dengan kepakaran globalnya dalam membina infrastruktur digital kukuh dan memupuk ekosistem rangkaian teguh akan menyumbang dengan ketara kepada penggunaan teknologi awan oleh syarikat Malaysia,” ujarnya.
Equinix kini mempunyai dua pusat data di Malaysia, JH dan KL.
JH menawarkan 500 kabinet dan 1,960 meter persegi ruang kolokasi, manakala KL menyediakan 900 kabinet dan 2,630 meter persegi ruang kolokasi sebaik sahaja dibina sepenuhnya.
Menurut Equinix, kemudahan itu telah pun menarik pelbagai rangkaian, kandungan, fintech, gaming dan syarikat kecerdasan buatan (AI) untuk menggunakan infrastruktur IT mereka.
Di Asia Pasifik, Equinix kini mempunyai 56 pusat data yang terletak di kawasan metropolitan utama di seluruh Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea, Malaysia dan Singapura.
Kehadiran globalnya dengan 260 pusat data merentasi 71 kawasan metropolitan terus menyokong lebih 10,000 perniagaan terkemuka di seluruh dunia.- DagangNews.com