KUALA LUMPUR 15 April – First Ambulance Services Sdn. Bhd. (FAS) dan YTL Communications Berhad (YTLC) mengumumkan jalinan strategik mereka hari ini, yang akan menambah baik perkhidmatan kecemasan dalam sektor kesihatan untuk rakyat Malaysia.
Jalinan kerjasama antara kedua syarikat ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan yang ditambah baik menerusi servis 5G Smart Ambulance, membolehkan fungsian baharu untuk mengambil tempat seperti telemetri pengimejan diagnostik jarak lebih jauh, di samping servis teleperubatan yang dikuasakan oleh realiti lanjutan.
Sejak April 2020, FAS telah memanfaatkan YES Fleet oleh YTL Communications untuk menyediakan penyelesaian telematik yang dikuasakan oleh rangkaian 4G dan telah merekodkan penurunan ketara dalam penyelenggaraan kenderaan dan pemandu serta penambahbaikan dalam kecekapan penghantaran.
Dengan fungsi WiFi terbina dalam kenderaan menerusi YES Fleet, FAS kini mampu membekalkan butiran dan diagnostik pesakit terus kepada hospital berkenaan.
Pengarah Urusan FAS, Steven Penafort berkata, sebagai sebuah syarikat yang dipacu data, FAS teruja untuk memanfaatkan jalur lebar yang tinggi dan kadar pendam rangkaian 5G yang rendah untuk menghubungkan data kesihatan pesakit seperti telemetri EKG dan imej ultrabunyi kepada pakar perubatan kecemasan di hospital berkenaan.
''Ini berlaku ketika sementara ambulans masih dalam perjalanan menuju ke hospital tersebut, untuk menambah baik masa saringan dan kesediaan hospital untuk mengendalikan pesakit sebaik sahaja tiba di unit kecemasan,” ujarnya.
CEO YTL Communications, Wing K. Lee berkata, sebagai telco pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan rangkaian 5G kepada rakyat, YTLC yakin dan percaya dengan kuasa rangkaian 5G yang mampu memacu pelbagai perubahan.
''Kami bersyukur kerana dapat memainkan peranan untuk memberikan sokongan kepada FAS untuk menambah baik penjagaan kecemasan menerusi penggunaan YES Fleet dengan rangkaian 4G.
''Kami juga teruja untuk maju ke hadapan bersama rangkaian 5G untuk membolehkan pelbagai kemungkinan baharu seperti siaran ultrabunyi dan telemetri EKG masa nyata yang pertama sebagai tambahan kepada sebuah lagi pelaksanaan pertama kali iaitu realiti lanjutan dalam perkhidmatan ambulans untuk menambah baik kepantasan dan ketepatan perkhidmatan kecemasan dan menyelamatkan nyawa.”
Penafort menambah, “Bekerjasama dengan YES, pelopor rangkaian 5G tanah air – kami berharap bahawa 5G Smart Ambulance akan membolehkan aliran kerja bersepadu antara unit-unit ambulans dan hospital untuk menambah baik penjagaan pesakit.
''Kami berhasrat untuk bekerjasama dengan hospital-hospital untuk memanfaatkan rangkaian 5G yang sedang diperluas ke seluruh negara,'' ujarnya.
Jalinan kerjasama ini selari dengan visi Menteri Kesihatan untuk menambah baik kecekapan dan kualiti perkhidmatan kecemasan bagi kesihatan di Malaysia.
Selaku tetamu kehormat majlis tersebut, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, kuasa rangkaian 5G membantu memanfaatkan masa perjalanan ke hospital bagi membolehkan saringan yang efektif mengambil tempat menerusi penghantaran suapan masa nyata telemetri dan pengimejan perubatan pesakit.
Tambahan pula kata beliau, Realiti Lanjutan berteraskan rangkaian 5G akan memberi impak kepada penjagaan pesakit dan usaha untuk menyelamatkan nyawa.
''Saya ingin melihat adaptasi teknologi 5G yang lebih meluas merentasi semua sektor kesihatan awam, termasuklah hospital-hospital kita,” kata beliau. – DagangNews.com