Fitch Solutions ramal Barisan Nasional menang PRU15 | DagangNews Skip to main content

Fitch Solutions ramal Barisan Nasional menang PRU15

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - Fitch Solutions Country Risk and Industry Research meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), walaupun terdapat "risiko yang ketara" selepas pembubaran Parlimen.

 

Katanya, keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor mungkin memberi petunjuk bahawa BN sudah meraih semula momentum politik sambil menyatakan mereka mempunyai kelebihan menjadi gabungan paling lama memerintah di negara ini.

 

"Ia memberi manfaat kepada mereka dalam janji pilihan raya bahawa mereka mempunyai lebih banyak pengalaman mentadbir negara berbanding gabungan politik lain selain jangkaan realistik bahawa mereka dapat menunaikan janji sebaik sahaja dipilih," katanya.

 

Firma itu berkata, kebarangkalian Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) untuk menang adalah di bawah 25% dengan menyatakan bahawa momentum PH telah menurun sejak memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

 

Katanya, PN menunjukkan prestasi buruk pada pilihan raya negeri Melaka serta Johor dan percaya perkara yang sama akan berlaku pada PRU15.

 

"Walaupun janji pilihan raya PH sebahagian besarnya mempunyai kesan positif yang sama kepada ekonomi seperti BN, mereka juga dituduh membuat janji populis yang tidak mempunyai kesan positif berpanjangan untuk pengguna seperti menghapuskan tol.

 

"Golongan miskin di luar bandar tidak mungkin menggunakan lebuh raya secara tetap dan akan mendapat manfaat minimum daripada janji itu. 

 

"Sebaliknya, ia adalah beban tidak langsung kepada demografi pendapatan terendah kerana kerajaan menanggung perbelanjaan tambahan sekiranya caj tol dimansuhkan,” katanya.

 

Firma itu, menjangkakan kerajaan baharu BN akan membawa kepada campur tangan negeri yang lebih besar dalam ekonomi, termasuk pengenalan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan perluasan tindakan afirmatif berasaskan kaum.

 

Firma itu juga berkata, BN akan mentadbir secara “relatif pragmatik” dan meneruskan keterbukaan Putrajaya kepada pelaburan asing.

 

Katanya, pengenalan semula GST akan memberi kesan baik untuk tinjauan fiskal jangka sederhana negara. - DagangNews.com