FreeYond taja BAM selama setahun untuk perkasa sukan badminton negara | DagangNews Skip to main content

FreeYond taja BAM selama setahun untuk perkasa sukan badminton negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei - Fast Technology Sdn Bhd, pengedar eksklusif FreeYond di Malaysia memeterai perjanjian penajaan setahun dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memperkasa dan meningkatkan pertumbuhan sukan badminton.

 

Perkongsian ini menunjukkan komitmen FreeYond untuk menyokong sukan badminton tempatan dan atlet di Malaysia dengan menyediakan bantuan kewangan dan sumber. 

 

Ia juga menyumbang kepada persiapan atlet negara untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan inisiatif pembangunan baharu. 

 

Selain itu menerusi kerjasama dengan BAM, FreeYond komited untuk memupuk bakat sukan dan mempromosikan gaya hidup sihat di negara ini.

 

Pengarah FreeYond, Datuk Eddie Chai Woon Chet berkata, pihaknya gembira dan menyokong keputusan yang dibuat Fast Technology dalam menaja BAM dan atletnya.

 

"Saya gembira dapat menyaksikan satu lagi kejayaan yang dicapai FreeYond selepas kemasukan rasmi telefon pintar kami ke Malaysia pada Mac 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, perjanjian penajaan itu ditandatangani oleh Presiden BAM dan Presiden Kehormat Badminton Asia, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria dan Pengarah Eksekutif Fast Energy Holdings Bhd, Vincent Tan Wye Chuan. 

 

 

freeyond
Vincent Tan Wye Chuan (kiri) dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong (kanan) ketika menandatangani perjanjian tajaan selama setahun FreeYond untuk BAM, sambil disaksikan Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria (barisan belakang, kanan) dan Datuk Eddie Chai Woon Chet (barisan belakang, kiri).

 

 

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, beliau berbesar hati dapat memuktamadkan perkongsian saling menguntungkan itu dan secara rasmi mengalu-alukan FreeYond sebagai penaja terbaharu BAM. 

 

"Sokongan daripada penaja kami adalah penting untuk pertumbuhan berterusan dan pembangunan sukan ini," katanya.

 

Vincent pula berkata, FreeYond melambangkan kebebasan dan daya hidup, mewakili tenaga muda yang tidak terbatas.

 

"Matlamat kami adalah untuk menyediakan pengguna pengalaman yang bersemangat dan membebaskan melalui rangkaian produk pintar kami. 

 

"Semangat jenama kami merangkumi usaha mencapai kecemerlangan, kerja berpasukan dan inovasi, yang sejajar dengan nilai BAM," ujar beliau. - DagangNews.com