SUNGAI SIPUT 15 Nov - Keputusan penting membabitkan penggabungan Barisan Nasional (BN) dengan parti lain tidak boleh dibuat secara bersendirian, sebaliknya perlu dibincang dan diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sama ada akan terbentuk satu jajaran baharu dengan gabungan parti lain atau tidak, ia bergantung kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), lapor Berita Harian.
"Tak boleh kata akan bergabung. Kita pun tak tahu lagi. Keputusan penggabungan dengan sesiapa sekali pun, parti mana sekali pun adalah keputusan parti.
"Parti yang akan membuat keputusan. Kalau kita menang dan kita boleh membentuk kerajaan... kita boleh membentuk kerajaan. Itu akan difikirkan.
"Tetapi dengan parti lain, mereka kata ada jajaran baharu dengan Pakatan Harapan (PH), ada orang kata dengan Perikatan Nasional (PN) atau dengan PAS... itu selepas pilihan raya.
"Selepas pilihan raya, kita seberang jambatan dahulu dan kemudian baru kita putuskan. Kita putuskan pun bukan cara bersendirian. Kita mungkin panggil mesyuarat khas MKT untuk buat keputusan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama keluarga Felda Lasah di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN pada PRU15.
Takiyuddin dilaporkan berkata, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.
Perdana Menteri berkata, penggabungan yang pasti adalah antara BN dengan gabungan parti dari Sabah dan Sarawak.
Katanya, BN tidak boleh berpisah dengan gabungan parti dari kedua-dua negeri kepulauan Borneo itu kerana ia diibaratkan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
"Yang pasti yang saya sebut di Sarawak semalam, kita pasti akan mewujudkan gabungan bersama parti dari Sabah dan Sarawak," katanya.
Yang turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan calon BN Sungai Siput, Tan Sri SA Vigneswaran. - DagangNews.com