Gaji, kos sara hidup tidak setara jadi penghalang peralihan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi - Rafizi | DagangNews Skip to main content

Gaji, kos sara hidup tidak setara jadi penghalang peralihan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi - Rafizi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Julai - Gaji yang tidak setara dengan kos sara hidup adalah isu pokok yang menjadi penghalang kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah adalah salah satu punca yang mengakibatkan gaji yang tidak seimbang dengan nilai hasil pekerja di dalam ekonomi.

 

Beliau berkata, nisbah gaji pekerja (Compensation of Employees, CE) Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar bagi tahun 2019 adalah 35.9%, jauh lebih rendah daripada negara-negara maju lain seperti Jerman (59.4%), United Kingdom (55.5%), Australia (46.9%) dan Republik Korea (46.8%). 

 

Katanya, kadar gaji penengah benar (real median wages) dan gaji kemasukan baru (entry level wages) merosot selepas pandemik COVID-19 dan kekal lebih rendah berbanding tahap sebelumnya.

 

"Mandat Kementerian Ekonomi adalah untuk menyelesaikan isu-isu struktur ekonomi yang boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara seperti ini.

 

rafizi
Rafizi Ramli

 

"Pertumbuhan gaji merupakan antara fokus utama reformasi struktur untuk mencapai sasaran CE negara, seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman menyuarakan kekecewaan terhadap kerjaan selepas tiada sebarang rancangan konkrit diambil untuk menambah baik ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

 

Beliau dalam satu kenyataan berkata, tiada perancangan atau strategi yang diperkenalkan oleh Rafizi yang terkenal dengan kehebatan formulanya untuk meningkatkan taraf hidup negara dan rakyat.

 

Terdahulu, Rafizi mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan model gaji progresif yang mungkin mendorong kepada kenaikan gaji tahunan secara mandatori.

 

Rafizi dilaporkan berharap sektor swasta turut komited membantu kerajaan merealisasikan Dasar Gaji Progresif bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

 

Rafizi berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi merangka beberapa pilihan dasar untuk dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan membincangkan strategi terbaik ke hadapan untuk meningkatkan gaji rakyat. 

 

Beliau berkata, butiran dan mekanisme dasar akhir akan diputuskan berdasarkan pertimbangan menyeluruh, termasuk kemampuan dan kesan kos kepada sektor swasta, pelaksanaan secara berperingkat (sequencing of implementation), dan persetujuan bersama tiga pihak (tripartite agreement) antara kerajaan, majikan, dan pekerja.

 

"Sesi libat urus dengan pemegang taruh utama iaitu kerajaan, majikan, dan pekerja juga akan diadakan untuk mendapatkan pandangan semua pihak.

 

"Sementara usaha-usaha membaiki struktur ekonomi yang lain diteruskan, Kementerian Ekonomi akan memberi penekanan kepada aspek kenaikan gaji pekerja yang adil kepada semua pihak," katanya. - DagangNews.com