Gamuda cadang pengambilalihan tanah seluas 3.68 hektar bernilai RM1.47 bilion di Vietnam | DagangNews Skip to main content

Gamuda cadang pengambilalihan tanah seluas 3.68 hektar bernilai RM1.47 bilion di Vietnam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - Gamuda Berhad mengumumkan bahawa cabang hartanahnya, Gamuda Land melalui tiga anak syarikat asing milik penuhnya di Vietnam memeterai Perjanjian Pemindahan Saham dengan Nguyen Hong Giang, Nguyen Van Viet dan Dang Thi Dung bagi mengambil alih 100% ekuiti dalam Tam Luc Real Estate Corporation. 

 

Menerusi perjanjian itu, Gamuda akan mengambil alih tanah seluas 3.68 hektar dengan nilai RM1.47 bilion yang terletak di bandar raya Thu Duc, Ho Chi Minh City di Vietnam yang sebelum ini dimiliki Tam Luc Real Estate.

 

Permit pembinaan yang sudah diluluskan di atas tanah berkenaan termasuk 1,968 unit pangsapuri eksklusif, 12 penthouse, 51 unit kedai dan 21 rumah kedai.

 

"Tapak projek bercampur itu siap dengan semua kelulusan perancangan yang diperlukan dan sedia digunakan untuk pembangunan segera dan terletak di kawasan stretegik yang diwartakan sebagai Hab Inovasi Ho Chi Minh City.

 

"Projek ini akan membolehkan Gamuda Land meneruskan trajektori pertumbuhan yang menguntungkan di Vietnam," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, cadangan pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi projek pemulihan pantas (QTP) Gamuda Land yang fokus kepada pulangan tinggi untuk pelaburan lima tahun atau kurang yang akan melengkapkan kekuatan mereka dalam pembangunan perbandaran.

 

Gamuda Land menjangkakan bahawa bekalan terhad di kawasan sekitar, digabungkan dengan konsep reka bentuk yang dipertingkatkan, akan menyumbang kepada peningkatan dalam pulangan.

 

"Cadangan pengambilalihan itu juga sejajar dengan penekanan Gamuda Land terhadap projek antarabangsa dalam portfolionya, yang menyumbang dua pertiga daripada jualan hartanahnya pada FY22," katanya.

 

Cadangan itu juga tidak akan memberi kesan kepada jumlah modal saham berbayar terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama Gamuda kerana ia tidak melibatkan sebarang terbitan saham Gamuda. - DagangNews.com