KUALA LUMPUR 5 Ogos - Gas Malaysia Bhd dijangka mencatatkan satu lagi keputusan kewangan yang kukuh pada suku akhir Jun 2024 berdasarkan harga jualan gas yang lebih tinggi.
Kenanga Research berkata, Gas Malaysia dijangka melaporkan keuntungan bersih di antara RM100 juta hingga RM105 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) berbanding RM102.3 juta pada 1QFY2024, dan RM97.6 juta pada 2QFY2023.
"Dari segi sejarah, volum akan berkurangan 2%-3% suku ke suku pada suku April-Jun, tetapi jualan mungkin akan bertahan kali ini "dengan peningkatan umum dalam aktiviti perniagaan, terutamanya sektor sarung tangan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Jualan gas kepada industr sektor sarung tangan sentiasa membentuk lebih daripada 30% daripada jumlah jualan Gas Malaysia dalam tempoh pra-Covid, dan mencapai rekod tertinggi sebanyak 38% pada FY2020.
Bagaimanapun, kata Kenanga Research, sektor itu hanya menyumbang 20% daripada jumlah jualan Gas Malaysia pada 3QFY23.
"Penurunan mendadak itu juga disebabkan oleh kehilangan salah satu akaun pembuat sarung tangan kepada pesaingnya selepas liberalisasi pasaran gas pada 2022 dan kehilangan bahagian pasaran kepada pengeluar sarung tangan China yang secara agresif mengembangkan kapasiti mereka semasa era pandemik," jelasnya.
Sementara itu, firma tersebut berkara, harga jualan gas dan margin runcit pada 2QFY24 dijangka meningkat secara berurutan.
"Harga jualan gas dan margin runcit pada 2QFY24 dijangka meningkat secara berurutan. Ini kerana harga jualan gas diikat kepada Harga Rujukan Malaysia (MRP) ditambah dengan faktor yang dipanggil beta, manakala GASMSIA memperoleh margin runcit yang dikira berdasarkan peratusan daripada harga jualan gas.
"MRP dijangka meningkat sebanyak 6% QoQ kepada RM44.12/mmbtu daripada RM41.51/mmbtu pada 1QFY24 berikutan peningkatan harga Brent," ujarnya.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'Market Perform' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.59 sesaham.
"Kami menyukai Gas Malaysia kerana kedudukan pasaran yang kuat, merupakan peruncit gas asli utama di Malaysia. Kedua, kebolehan pendapatan yang kuat dengan Gas Maaysia mempunyai visi pendapatan yang kukuh, disokong oleh keupayaannya untuk mengekalkan pelanggan, biasanya melalui kontrak selama 3 tahun.
"Ketiga, penjanaan Aliran Tunai Bebas yang kuat memandangkan Gas Malaysia menghasilkan aliran tunai bebas yang kukuh, yang menyokong hasil dividen melebihi 6%. Walau bagaimanapun, penilaian saham Gas Malaysia adalah saksama pada tahap semasa," katanya.- DagangNews.com