JOHOR BAHRU 16 Nov - Gelombang menuntut perubahan itu jelas dan menjadi petanda baik rakyat akan memberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN) untuk memerintah negara.
Ia terbukti apabila ribuan hadirin pelbagai kaum semua lapisan usia hadir pada Program Jelajah PN Best, yang dilihat sebagai indikator rakyat sudah menerima PN.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehadiran itu satu gelombang kebangkitan rakyat memilih pemimpin PN yang bersih, stabil dan amanah sekaligus menolak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, rakyat diminta untuk memberikan sokongan padu kepada PN untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.
“Khidmat terbaik yang akan PN sediakan termasuk tawaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bersasar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Ini termasuk sumbangan RM1,000 untuk belia melanjutkan pelajaran dan diskaun 25% bayaran balik wang pinjaman pendidikan PTPTN.
“Selain itu, tawaran satu juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada belia dan program MyPrihatin untuk memberi bantuan segera kepada rakyat miskin. Semua janji ini antara yang termaktub dalam manifesto PN...ianya bersifat realistik.,” katanya pada Program Jelajah PN Best di Taman Sierra Perdana Masai, Pasir Gudang semalam.
Dalam pada itu, selepas selesai ucapannya, Muhyiddin sempat memenuhi permintaan hadirin untuk membacakan doa selamat.
“Katanya rakyat rindu bacaan doa Abah ketika berhadapan COVID-19 lalu,” katanya.
Semalam, Muhyiddin berada di selatan tanah air bersama rakyat Johor, bertanya khabar dan melihat aktiviti perniagaan serta hal kehidupan harian.
"Sambutan meriah daripada penduduk dan peniaga di Sri Stulang sangat dihargai. Mereka ini adalah penghuni asal rumah pangsa Bukit Chagar di sini.
"Alhamdulilah kehidupan mereka di sini lebih selesa dan dapat berniaga serta bekerja dengan sempurna. Saya bersama mereka ketika menjadi Menteri Besar Johor lebih 20 tahun lalu," ujarnya. - DagangNews.com