George Kent lantik Thomas Leong Yew sebagai Pengarah, Strategi & Pelaburan | DagangNews Skip to main content

George Kent lantik Thomas Leong Yew sebagai Pengarah, Strategi & Pelaburan

Datuk Thomas Leong Yew Hong
Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 29 Julai - George Kent (Malaysia) Bhd hari ini mengumumkan pelantikan bekas ketua pegawai strategi kumpulan Sime Darby Bhd Datuk Thomas Leong Yew Hong sebagai pengarah strategi & pelaburannya.

 

Syarikat itu menjelaskan bahawa Thomas bukan ahli Lembaga Pengarah George Kent dan pelantikannya berkuatkuasa 1 Ogos ini.

 

Sebagai Pengarah, Strategi & Pelaburan, beliau akan bekerjasama rapat dengan  Pengerusi Eksekutif George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock mengenai strategi jangka panjang, pembangunan perniagaan, pelaburan termasuk penggabungan dan pengambilalihan.

 

Selain itu, beliau juga akan mengusahakan peluang dalam perniagaan pelengkap infrastruktur air dan pengangkutan rel.

 

George Kent sehingga kini telah memantapkan dirinya sebagai salah satu Penyepadu Sistem terbesar dalam pengangkutan rel, setelah menyumbang kepada pengembangan projek rangkaian rel bandar Malaysia, termasuk sambungan laluan LRT Ampang, MRT2 dan LRT3. 

 

Peranan Thomas termasuk melihat peluang pelaburan strategik dalam tenaga boleh diperbaharui, teknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian pusat data. 

 

Menurut kumpulan itu, peranan Thomas akan membawa George Kent ke dalam bidang "perniagaan masa depan" dengan mempelbagaikan perniagaan. 

 

Thomas, 52, merupakan seorang alumni Harvard Business School, membawa bersamanya banyak pengalaman kepada kumpulan itu di mana beliau baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Strategi Kumpulan sebuah konglomerat besar Malaysia yang tersenarai.

 

Thomas juga merupakan Naib Presiden Eksekutif Strategi Kumpulan & Pembangunan Perniagaan salah satu institusi kewangan terbesar di Malaysia.

 

Di samping itu, beliau membawa lebih 30 tahun pengalaman dalam perundingan strategi dan pengurusan  sektor perindustrian, automotif serta perkhidmatan kewangan. 

 

Beliau juga telah memegang pelbagai peranan kepimpinan dalam strategi korporat, penggabungan dan pemerolehan, pengurusan perniagaan, perhubungan pelabur, inovasi dan transformasi digital.- DagangNews.com