GHL bekerjasama dengan ShopBack, tawar ganjaran pulangan tunai kepada pengguna | DagangNews Skip to main content

GHL bekerjasama dengan ShopBack, tawar ganjaran pulangan tunai kepada pengguna

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Ogos - GHL Systems Bhd (GHL) mengumumkan kerjasama strategik dengan ShopBack, sebuah platform membeli-belah di Asia Pasifik bagi menawarkan kepada lebih 6 juta pengguna di seluruh negara untuk mendapatkan ganjaran pulangan tunai.

 

GHL berkata, melalui pilihan terminal pembayaran bersepadunya yang merentasi pelbagai perniagaan, pengguna kini boleh menikmati nilai dan memliliki kuasa beli lebih tinggi dengan memperoleh ganjaran melalui ShopBack.

 

"Pengguna hanya perlu menunjukkan kod QR melalui aplikasi ShopBack di kedai-kedai yang tersenarai dalam aplikasi kami untuk membuat pembayaran bagi membolehkan mereka menerima ganjaran pulangan tunai. 

 

"Selain itu, pengguna juga boleh menyemak promosi dalam kedai melalui aplikasi sebelum membuat pembelian," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

GHL merupakan penyedia perkhidmatan pembayaran elektronik Malaysia dan rantau ASEAN. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GHL Malaysia, Kevin Lee berkata, kerjasama GHL dengan ShopBack memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak dalam situasi menang-menang yang bakal memperkasakan kedua-dua peniaga dan pengguna.

 

"Pengguna dapat menikmati pengalaman membeli-belah yang memuaskan dan peniaga juga mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan dalam kedai," ulas beliau. 

 

Pengurus Besar ShopBack Malaysia, Vincent Wong turut berkata, menerusi kerjasama dengan Shopback, GHL telah mengambil langkah pertama dalam mengubah landskap pembayaran di Malaysia. 

 

"Bersama-sama, kami akan meningkatkan pengalaman membeli-belah keseluruhan bagi pengguna Malaysia, membolehkan mereka bukan sahaja memperoleh cashback, tetapi juga dengan mudah menolak pembayaran dengan cashback yang diperoleh.

 

"Kerjasama ini juga menawarkan penyelesaian pemasaran yang berkesan kepada peniaga untuk menarik dan mengekalkan pelanggan bernilai tinggi," ujarnya.

 

Sementara itu, GHL dan ShopBack komited untuk terus meningkatkan nilai tambah kepada pengguna dan peniaga melalui inovasi berterusan dalam sektor pembayaran dan ganjaran- DagangNews.com