Hanya satu dalam 2.7 juta penumpang udara dijangkiti COVID-19 - IATA | DagangNews Skip to main content

Hanya satu dalam 2.7 juta penumpang udara dijangkiti COVID-19 - IATA

Industri penerbangan menerima kesan buruk akibat pandemik cOVID-19.

ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 9 Okt. - Pandemik COVID-19 menyaksikan industri penerbangan global menerima kesan buruk hingga beberapa syarikat penerbangan berdepan risiko bankrap dan ribuan pekerja pula hilang mata pencarian.

Keadaan ini juga tidak terkecuali menimpa syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines dan AirAsia apabila nasib masing-masing kini ibarat telur di hujung tanduk.

Walaupun ada kemungkinan vaksin boleh digunakan secara meluas suatu hari ini dan tiada lagi sekatan sempadan antarabangsa, industri penerbangan global dijangka terus bergelut ekoran permintaan lemah sekurang-kurangnya sehingga akhir 2021. 

Bagaimanapun, data jangkitan dalam pesawat menunjukkan hanya 44 sahaja kes disahkan daripada 1.2 bilion penumpang yang menaiki pesawat sejak awal tahun ini, menurut kaji selidik yang dijalankan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bersama tiga pengeluar pesawat, Boeing, Airbus dan Embraer. 

"Ini mewakili paling banyak satu kes dalam setiap 2.7 juta penumpang udara yang dijangkiti wabab itu ketika menaiki pesawat. 

"Angka itu mungkin nampak remeh tetapi jika 90 peratus kes tidak dilaporkan, ia masih lagi menunjukkan satu dalam 2.7 juta penumpang akan dijangkiti wabak ini. Jadi, bagi kami, ini sangat menyakinkan," jelas Penasihat Perubatan IATA, Dr. David Powell dalam kenyataan.  

Malah, katanya, kebanyakan kes itu juga berlaku sebelum mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang. 

Antara kemungkinan yang menyebabkan kes jangkitan rendah disebabkan reka bentuk aliran udara dalam kabin pesawat komersial walaupun penumpang diletakkan dalam kawasan tertutup untuk tempoh jangka masa lama. 

Ini kerana pesawat moden biasanya dilengkapi dengan penapis udara berkecekapan tinggi (HEPA) dan dibentuk untuk mendorong aliran udara ke kabin bawah bagi meminimumkan potensi jangkitan penyakit. 

Pengarah Urusan IATA, Alexandre de Juniac bagaimanapun berkata, kajian itu tidak semestinya menunjukkan sifar jangkitan dalam mana-mana penerbangan. 

"Tidak ada satu perkara pun yang membolehkan kita menjalani kehidupan dan melakukan perjalanan dengan selamat pada era pandemik ini. Tetapi dengan pelbagai langkah diambil tidak akan membataskan kebebasan mereka untuk terbang. Tidak ada yang benar-benar bebas risiko," katanya. - DagangNews.com