KUALA LUMPUR 14 Julai - Hap Seng Consolidated Berhad menerusi anak syarikatnya, Hap Seng Star Sdn. Bhd. (HSS) memeterai perjanjian perkhidmatan pengedaran bersama Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. (MBM).
Menerusi perjanjian itu, HSS dilantik sebagai ejen bukan eksklusif kepada MBM selain menyokong syarikat itu dalam memenuhi prestasi dan jualan langsung kepada pelanggan.
"Kumpulan itu juga dilantik sebagai pengedar perkhidmatan bukan eksklusif untuk perkhidmatan kenderaan penumpang Mercedes-Benz di Malaysia, berkuat kuasa 1 September 2023," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Pada masa sama, HSS akan terus mewakili MBM untuk jualan kenderaan penumpang Mercedes-Benz di Malaysia berdasarkan model pengedar sekarang.
Tiada pengarah atau pemegang saham utama atau orang yang berkaitan dengan pengarah atau pemegang saham utama syarikat mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam perjanjian tersebut.
Di samping itu, lembaga pengarah berpendapat bahawa perjanjian tersebut adalah demi kepentingan terbaik kumpulan itu. - DagangNews.com