HDC meterai perjanjian dengan Persatuan Hotel Malaysia bagi majukan ekosistem halal | DagangNews Skip to main content

HDC meterai perjanjian dengan Persatuan Hotel Malaysia bagi majukan ekosistem halal

MoA itu ditandatangani oleh CEO Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari manakala MAHTEC Sdn Bhd. diwakili oleh Datin Christina Toh, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Halal Development Corporation Berhad (HDC) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bagi memajukan ekosistem halal Malaysia dengan mengintegrasikan industri perhotelan dalam inisiatif pembangunan halal negara. 

 

MoA itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari dan Presiden MAH, Datin Christina Toh pada hari ini yang turut disaksikan oleh Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun dan Setiausaha Agung MAH, Datuk Megat Shahrul Azman.

 

Menerusi kerjasama strategik itu, kedua-dua pihak terlibat dengan pemain industri sektor hospitaliti dan mempromosikan penyertaan aktif mereka dalam ekosistem halal Malaysia yang semakin berkembang. 

 

Menurut HDC, inisiatif itu selaras dengan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 yang menyasarkan untuk menempatkan hospitaliti mesra Muslim sebagai sektor utama pertumbuhan ekonomi dan kemampanan di Malaysia. 

 

Katanya, kerjasama itu dijangka menghasilkan penubuhan kumpulan bakat halal yang mencukupi bagi memenuhkan permintaan yang semakin meningkat dalam sektor hospitaliti Malaysia. 

 

Selain itu, inisiatif itu juga akan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bakat tempatan, menyediakan Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam pembangunan bakat halal dan hospitaliti mesra Muslim.

 

"Di bawah perkongsian ini, HDC dan Pusat Pendidikan Latihan MAH (MAHTEC) akan bersama-sama menawarkan Program Latihan Industri Halal komprehensif bagi melengkapkan profesional hospitaliti dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk cemerlang dalam sektor halal. 

 

"Program latihan itu akan terdiri daripada tiga komponen utama: Program Latihan Kesedaran Halal (Asas Industri Halal & Pensijilan Halal Malaysia), Program Latihan Kompetensi Halal dan Program Eksekutif Halal Bertauliah (CHEP)," ujar HDC dalam kenyataan media hari ini. 

 

Melalui program latihan ini, HDC dan MAHTEC menyasarkan untuk mewujudkan kesedaran dan keterlihatan yang lebih besar untuk peluang industri halal, memanfaatkan kumpulan sasaran baharu dan sedia ada dalam industri perhotelan. 

 

Usaha ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk "Tahun Melawat Malaysia 2025," seterusnya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk layanan mesra Muslim.- DagangNews.com