Helios Photovoltaic, Public Islamic Bank meterai MoU sedia pakej pembiayaan panel solar | DagangNews Skip to main content

Helios Photovoltaic, Public Islamic Bank meterai MoU sedia pakej pembiayaan panel solar

(Dua dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi bertukar MoU bersama Pengerusi Helios PV Sdn. Bhd., Datuk Seri Ibrahim Muhammad.

(Dua dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi bertukar MoU bersama Pengerusi Helios PV Sdn. Bhd., Datuk Seri Ibrahim Muhammad.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Syarikat pemaju tenaga solar, Helios Photovoltaic Sdn. Bhd. (Helios Photovoltaic) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Public Islamic Bank Bhd. (PIBB) bagi menyediakan pakej pembiayaan dan pemasangan eksklusif panel solar PV di kediaman peribadi pelanggan Public Bank dan PIBB.

Kerjasama itu dilihat mampu menjana elektrik hingga 1 Gigawatt.

Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi berkata, inisiatif berkenaan seiring dengan Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) oleh Bank Negara bagi industri perbankan Islam yang mensasarkan hasil berlandaskan Shariah dalam aspek pengamalan, tingkah laku dan penawaran yang menghasilkan kesan positif kepada ekonomi, masyarakat dan persekitaran.

"Pakej pembiayaan hingga 100% untuk pemasangan PV ditawarkan kepada pelanggan kami.

"Dengan ini mereka dapat menikmati penjimatan dalam bil tenaga elektrik bulanan mereka," jelas beliau dalam majlis menandatangani MoU berkenaan hari ini.

MoU berkenaan dijalankan secara tertutup di pejabat korporat Helios Photovoltaic seiring dengan langkah-langkah keselamatan awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

 

(Duduk dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi dan Pengerusi Helios PV Sdn. Bhd., Datuk Seri Ibrahim Muhammad ketika menandatangani MoU hari ini.
(Duduk dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi dan Pengerusi Helios PV Sdn. Bhd., Datuk Seri Ibrahim Muhammad ketika menandatangani MoU hari ini.

 

Penyelesaian pembiayaan itu seiring dengan skema Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) kerajaan selain pengenalan garis panduan kegunaan sendiri (SELCO) oleh Suruhanjaya Tenaga untuk menjadikan pemasangan PV solar sebagai inisiatif utama bagi individu, komersial dan penggunaan industri untuk menjimatkan kos elektrik.

SELCO adalah satu pendekatan yang diterapkan untuk pengguna menghasilkan jumlah tenaga elektrik yang mencukupi untuk kegunaan sendiri.

Kesemua pelanggan pembiayaan kediaman Public Bank dan PIBB akan berpeluang menjana tenaga bersih melalui pemasangan PV solar di atas bumbung kediaman.

Sementara itu, Pengerusi Helios Photovoltaic, Datuk Seri Ibrahim Muhammad berkata, kerjasama itu adalah bukti kepada komitmen sektor perbankan dan tenaga untuk sama-sama mencapai matlamat dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.

"Menggunakan tenaga suria adalah cara penyediaan yang betul untuk masa hadapan. Ini secara tidak langsung dapat menangani isu-isu penting kepada generasi dan negara pada masa hadapan seperti perubahan iklim dan akses tenaga bersih untuk semua.

"Ini adalah cabaran yang memerlukan kepada tindakan kolektif jika kita mahu atasinya," ujar beliau. - DagangNews.com