HLIB positif terhadap langkah Sunway beli tanah pegangan bebas bernilai RM115 juta di Rawang | DagangNews Skip to main content

HLIB positif terhadap langkah Sunway beli tanah pegangan bebas bernilai RM115 juta di Rawang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif mengenai langkah Sunway Berhad menerusi Sunway Property membeli tanah perindustrian pegangan bebas di Kuang, Rawang seluas 99.15 hektar harga RM115 juta.

 

Firma penyelidikan itu menyatakan, ia disebabkan lokasi tanah yang strategik dengan sambungan yang baik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang, serta harga perolehan yang berpatutan.

 

Ia juga menambah bahawa daya tarikan segmen perindustrian akan mendapat manfaat daripada aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh dan usaha niaga itu membolehkan kumpulan itu mempelbagaikan aliran pendapatannya.

 

"Kumpulan itu sebelum ini mempunyai pengalaman dalam membina lot industri, termasuk di Subang dan Dengkil. 

 

"Bagaimanapun, usaha niaga ini merupakan usaha pertama kumpulan itu ke dalam taman perindustrian berskala besar dan penuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Sunway bangunkan Taman Teknologi Perindustrian di Rawang dengan nilai pembangunan kasar RM2 bilion

 

HLIB Research berkata,  sebagai sebuah negara berkecuali dari segi geopolitik, Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada trend apabila pengilang membeli semula dan menentukur semula rantaian bekalan mereka berikutan kemelut perdagangan AS-China yang berterusan dan perang Rusia-Ukraine.

 

Katanya, selain itu, dengan menerokai segmen perindustrian, kumpulan itu juga akan dapat mempelbagaikan aliran pendapatannya dan mengurangkan risiko sekiranya berlaku kelembapan dalam segmen hartanah.

 

sunway
HLIB positif terhadap langkah Sunway mengambil alih tanah industri pegangan bebas berharga RM115 juta di Rawanga.

 

"Akhirnya, seperti yang dijelaskan, lokasi tanah itu adalah strategik manakala harga perolehan adalah adil.

 

"Oleh itu, kami secara keseluruhannya positif terhadap pengambilalihan itu," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli'dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.65 sesaham.- DagangNews.com