KUALA LUMPUR 31 Julai - Huawei Technologies Sdn Bhd (Huawei Malaysia) menawarkan biasiswa kepada enam pelajar cemerlang Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menerusi perjanjian kerjasama yang dimeterai dengan UTM, Huawei Malaysia akan menanggung yuran pengajian kesemua enam pelajar berkenaan termasuk memberikan bantuan kewangan penuh kepada mereka.
Menurut Huawei Malaysia, program itu terbuka kepada semua warga Malaysia yang sedang menuntut di tahun kedua hingga keempat di UTM dan memiliki purata nilai gred kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.20.
Katanya, penajaan ini adalah secara retrospektif dengan Huawei akan membayar semula yuran pengajian para pelajar bermula dari semester pertama lagi.
"Menjelang tamat pengajian mereka, para pelajar yang ditaja itu akan diberi pilihan untuk memulakan kerjaya bersama Huawei serta memberi komitmen kepada syarikat itu sekurang-kurangnya dua tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Huawei Malaysia berkata, para pelajar yang memiliki pensijilan daripada Huawei Certified ICT Associate (HCIA), Huawei Certified ICT Professional (HCIP) atau Huawei Certified ICT Expert (HCIE) akan diberi kelebihan semasa proses pemilihan untuk program penajaan.
"Mereka yang dipilih dalam program Huawei Seeds for the Future dan Huawei Sales Elite Challenge juga akan didahulukan semasa pemilihan itu," ujarnya.
Turut menyokong program tersebut, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM, Prof. Dr. Ali Selamat berkata, pemimpin dalam sektor teknologi dan institusi akademik perlu bekerjasama bagi menjanakan pekerja berkelayakan tinggi.
"UTM dan Huawei mempunyai perkongsian lama yang bertujuan untuk menyediakan pendidikan komprehensif dan pengalaman praktikal kepada pelajar dan graduan UTM, sekali gus membentuk masa depan mereka.
"Sinergi ini menggalakkan inovasi dan kemajuan ekonomi di samping meningkatkan pengetahuan graduan,” ujarnya.
Di samping itu, Naib Presiden Sumber Manusia Huawei Malaysia, Choh Yau Meng, menekankan kepentingan kerjasama antara institusi akademik dan industri teknologi dalam menyediakan tenaga kerja masa depan.
“Dengan meratakan padang permainan dari segi peluang melanjutkan pelajaran ke pendidikan tinggi, kami mencungkil bakat dan menangani kemahiran pelajar yang tidakpadanan.
"Melalui penglibatan proaktif dan komitmen Huawei dan UTM bersama dalam majukan sektor akademik dan industri digital ke arah menyokong hasil pendidikan yang berjaya secara kolektif dan seterusnya, menjadi kunci kepada matlamat transformasi digital negara,”
Selain daripada program penajaan, Huawei Malaysia telah terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif pembangunan bakat, termasuk penubuhan Akademi ICT Huawei di pelbagai universiti awam dan swasta di seluruh negara untuk membimbing dan memupuk profesional ICT berkaliber tinggi.
Sejak 2021, Huawei Malaysia telah melahirkan 54,000 bakat melalui Akademi ASEAN Huawei dan syarikat itu telah melepasi sasarannya untuk melahirkan 50,000 bakat digital di Malaysia menjelang 2025.- DagangNews.com