I-Berhad sasar kumpul RM100 juta menerusi terbitan saham keutamaan kepada Sumurwang | DagangNews Skip to main content

I-Berhad sasar kumpul RM100 juta menerusi terbitan saham keutamaan kepada Sumurwang

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 April - I-Berhad merancang menerbitkan saham keutamaan kepada pemegang saham utamanya dalam perjanjian yang boleh mengumpul sehingga RM100 juta.

 

Cadangan itu memerlukan penerbitan sehingga 100 juta saham keutamaan boleh tebus kepada Sumurwang Sdn Bhd pada harga RM1 setiap satu.

 

Kata pemaju perbandaran i-City itu dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, saham tersebut tidak boleh diniagakan dan tidak boleh ditukar kepada saham biasa syarikat.

 

I-Berhad menjangkakan cadangan itu dilengkapkan pada suku ketiga 2024.

 

Sebanyak RM45 juta daripada hasil akan diperuntukkan menyelesaikan wang pendahuluan yang disediakan oleh Sumurwang untuk perniagaannya dan RM40 juta untuk membiayai projek BeCentral Residences. 

 

Syarikat itu juga merancang menggunakan RM14.65 juta sebagai modal kerja dan selebihnya untuk membiayai perbelanjaan bagi terbitan itu.

 

Sumurwang memiliki 57% kepentingan langsung dalam I-Bhd dan 6% lagi secara tidak langsung.

 

“Lembaga Pengarah berpandangan pengeluaran yang dicadangkan adalah satu cara sesuai untuk mengumpul dana diperlukan, membolehkan syarikat mengumpul dana tanpa jaminan dan pada kadar lebih rendah berbanding kadar pinjaman bank sedia ada yang berkisar antara 4.21% hingga 5%," katanya. 

 

I-Berhad berkata, BeCentral Residences yang kini dalam pembinaan dijangka siap pada penghujung 2025. Ia terdiri daripada dua menara dengan jumlah 986 unit kediaman dan terletak di i-City.

 

i-city

 

Keseluruhan projek itu dijangka menelan belanja RM336.7 juta dengan 45% telah dibelanjakan dan selebihnya akan dibiayai daripada hasil terbitan saham dan dana yang dijana secara dalaman.

 

Selain BeCentral Residences, satu lagi projek dalam pembinaan ialah 8 ruang korporat dan runcit Premier. Kedua-dua projek itu mempunyai gabungan nilai pembangunan kasar kira-kira RM700 juta.

 

AmInvestment Bank adalah penasihat kepada I-Bhd bagi cadangan terbitan manakala cfSolutions Sdn Bhd telah dilantik oleh syarikat untuk bertindak sebagai penasihat bebas kepada pengarah lain dan pemegang saham minoriti.

 

Sementara itu, dalam kenyataan media, I-Berhad mengumumkan penerimaan komitmen pelaburan sebanyak RM100 juta dalam Saham Keutamaan Boleh Tebus dari pemegang saham utamanya, Tan Sri Lim Kim Hong.

 

lim kim
Tan Sri Lim Kim Hong

 

Sokongan kewangan ini bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan hartanah di i-City, selaras dengan pertumbuhan pasaran hartanah yang dijangka meningkat. 

 

Ia juga melambangkan keyakinan yang kuat terhadap potensi pertumbuhan i-City dan inisiatif strategiknya, selaras dengan pemacuan agenda Malaysia Digital yang merangkumi bandar digital.

 

Menurut Kim Hong, ini adalah matlamat bersama untuk masa depan di mana teknologi dan gaya hidup saling berkait untuk mencipta destinasi riadah, makanan dan gaya hidup yang tiada tolok bandingnya.  - DagangNews.com