IIB jalin kerjasama dengan TM-NXERA bangunkan infrastruktur digital di Iskandar Puteri | DagangNews Skip to main content

IIB jalin kerjasama dengan TM-NXERA bangunkan infrastruktur digital di Iskandar Puteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jun - Pemaju induk Iskandar Puteri, Iskandar Investment Bhd (IIB) menerusi River Retreat Sdn Bhd memeterai kerjasama startegik dengan TM-NXERA iaitu kerjasama antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Singapore Telecommunications Ltd (Singtel) bagi memperkasa ekonomi digital serta masa depan mampan bagi rantau ini. 

 

Kumpulan itu berkata, kerjasama strategik dengan TM-NXERA adalah bagi membangunkan infrastruktur digital yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) di Iskandar Puteri sebagai usaha menjadi peneraju hab digital dan inovasi untuk Johor.

 

Projek itu katanya, melibatkan pelaburan sekitar RM9 bilion oleh pihak-pihak yang membangunkan infrastruktur di Iskandar Puteri.

 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Izham Mohd Hashim berkata, keputusan TM-NXERA mewujudkan infrastruktur AI di Iskandar Puteri merupakan pencapaian penting kepada komuniti mereka.

 

"Ia bukan sekadar pembangunan infrastruktur semata-mata tetapi juga bagi memupuk inovasi serta menggalakkan pertumbuhan di rantau ini," katanya alam satu kenyataan, hari ini.

 

Kerjasama itu sejajar dengan agenda nasional Malaysia termasuk Rangka Tindakan MyDIGITAL, yang menekankan kepentingan infrastruktur digital dalam memacu kerajaan dan ekonomi yang didayakan secara digital. 

 

Selain itu, ia mendokong matlamat negara untuk menarik pelaburan sebanyak RM70 bilion menjelang 2025, seperti yang digariskan dalam Rangka Induk MyDIGITAL dan Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030.

 

Infrastruktur digital baharu ini akan menghasilkan pelbagai manfaat bagi Iskandar Puteri, membuka peluang dan mencipta nilai dalam pelbagai cara. Ia akan menambah peluang pelaburan dengan menarik syarikat teknologi baharu dan merangsang pelaburan berasaskan teknologi. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif NXERA dan unit Digital InfraCo Singtel, Bill Chang berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan IIB dalam membangunkan infrastruktur digital di Iskandar Puteri kerana inisiatif itu adalah sejajar dengan visi mereka bagi memperkasakan ekonomi digital serta menyerlahkan potensi perniagaan Johor serta Singapura.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, langkah strategik itu mengukuhkan lagi komitmen pihaknya dalam memajukan teknologi dan memupuk inovasi di Malaysia. 

 

"Johor merupakan destinasi utama bagi pengembangan infrastruktur digital TM yang dipacu oleh ketersambungan domestik dan antarabangsa. 

 

"Kerjasama ini merupakan langkah utama dalam misi kami untuk meletakkan Malaysia  sebagai hab digital serantau dan ke arah visi kami untuk menjadi Penjana Pendigitalan 
menjelang 2030," katanya.

 

Infrastruktur itu akan dibina dengan memberi fokus kepada kemampanan, sejajar dengan visi IIB untuk mewujudkan karbon sifar di Medini dan ia juga akan meningkatkan ekosistem perniagaan dengan memudahkan pembangunan pelbagai industri dipacu teknologi dalam Iskandar Puteri.  - DagangNews.com