Industri pelancongan Sabah bernilai RM13 bilion pada 2022, sumbang 10.7% kepada KDNK negeri - DOSM | DagangNews Skip to main content

Industri pelancongan Sabah bernilai RM13 bilion pada 2022, sumbang 10.7% kepada KDNK negeri - DOSM

Pelancong mengikuti aktiviti ATV di Kiulu Farmstay [Foto Sabah Tourism]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Dis - Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) Sabah pada 2022 mencatatkan RM13 bilion dengan sumbangan 10.7% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menambah bahawa keluaran dalam negeri kasar pelancongan langsung (KDNKPL) merekodkan RM3.2 bilion dengan sumbangan 2.6% kepada KDNK Sabah.

 

"Prestasi industri pelancongan Sabah pada 2022 didorong oleh usaha kerajaan negeri, antaranya meneruskan perkhidmatan penerbangan masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) seperti dari Singapura, Korea Selatan dan Thailand, serta penerbangan domestik dari Terengganu ke Kota Kinabalu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran penerbitan pertama laporan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (ASPW) Sabah 2022 di Kota Kinabalu hari ini yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

 

Menurut kenyataan DOSM itu, pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan Sabah di mana pada 2022, jumlah ketibaan pelawat ke Sabah mencecah 1.73 juta orang, meningkat 365.5% berbanding 400,000 orang yang direkodkan pada tahun sebelumnya. 

 

 

dsom

 

 

Sementara itu, perbelanjaan  pelancongan 'inbound' di Sabah mencatatkan RM2.7 bilion pada 2022, dengan pelawat dari Semenanjung Malaysia sebagai penyumbang utama, merangkumi 63.7% atau RM 1.7 bilion. 

 


Manakala pelawat dari luar negara dan Sarawak pula masing-masing menyumbang 23% atau RM600 juta dan 13.2% atau RM400 juta pada 2022.

 

Selanjutnya, prestasi industri pelancongan Sabah dipacu oleh perbelanjaan pelancongan yang dilakukan oleh residen Sabah dengan merekodkan RM3.5 bilion, menyumbang 56.5% kepada jumlah penggunaan pelancongan dalaman yang merangkumi perbelanjaan pelancongan inbound dan domestik. 

 

Dari segi guna tenaga industri pelancongan di Sabah, ia merekodkan penglibatan 427 ribu orang bekerja pada 2022 dan menyumbang sebanyak 22.8% kepada jumlah keseluruhan guna tenaga di Sabah. 

 

"Berdasarkan senario semasa dengan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi merancakkan industri pelancongan antaranya Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti, diramalkan ketibaan pelancong ke Sabah pada 2023 akan terus meningkat dan secara tidak langsung memberi sumbangan kepada ekonomi Sabah. 

 

"Sepanjang sepuluh bulan pertama 2023, didapati seramai 2.11 juta ketibaan pelawat ke Sabah, meningkat 56.1% berbanding tempoh sama pada 2022 iaitu 1.36 juta," kata Mohd Uzir. - DagangNews.com