INFINITY8 buka ruang niaga berkeluasan 11,000 kaki persegi di MyTown, Januari ini | DagangNews Skip to main content

INFINITY8 buka ruang niaga berkeluasan 11,000 kaki persegi di MyTown, Januari ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - INFINITY8 akan membuka pintu perniagaan kepada usahawan dan perniagaan baharu di Lembah Klang bermula Januari hadapan menerusi pembukaan ruang baharu berkeluasan 11,000 kaki persegi di pusat beli belah MyTOWN.

 

Ruang runcit itu itu akan menampilkan ciri-ciri perniagaan baharu selepas pandemik dan ia terbuka kepada usahawan norma baharu.

 

"Kami mahu meneroka pasaran Lembah Klang bagi mengatasi permintaan yang semakin bertambah terhadap ruang kerja bersama.

 

"Daripada perkhidmatan yang kami tawarkan hingga hiasan dalaman ruang berkenaan menunjukkan cara kami bekerja dan sejak berlakunya pandemik sejak dua tahun lalu, permintaan terhadap suasana kerja yang fleksibel semakin bertambah dalam kalangan syarikat pemula.

 

"Kerjasama kami dengan IKANO Centre untuk cawangan MyTOWN berjaya membentuk ruang untuk komuniti untuk berkumpul serta mencipta hubungan selain mematikan ia berada dalam suasana yang selamat," kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif INFINITY8, Sheah Liang Lee dalam satu kenyataan. 

 

INFINITY8 memenuhi permintaan perniagaan di semua peringkat termasuk syarikat multinasional yang dilihat semakin berminat untuk menggunakan ruang kerja bersama dalam memenuhi permintaan semasa musim pandemik termasuk mengasingkan tenaga kerja mereka selain bekerja dari jarak jauh.

 

Bagi syarikat pemula dan pekerja bebas, INFINITY8 menyediakan kemudahan meja kerja dan keperluan asas yang semakin popular. 

 

Bagaimanapun, pendekatan dinamik INFINITY8 menyaksikan ruangan peribadi yang disediakan dilengkapi dengan kemudahan perabot dan boleh disesuaikan mengikut kehendak perniagaan itu selain menampilkan kontrak sewaan yang fleksibel. 

 

Bagi syarikat yang menjalankan perniagaan secara dalam talian, mereka akan diberikan pejabat maya dengan alamat pejabat fizikal bagi memudahkan urusan surat-menyuarat.

 

"Untuk kami di INFINITY8, ruangan kerja ini adalah usaha kami untuk memberikan pilihan kepada individu untuk bekerja dengan lebih fleksibel.

 

"Kami sedar dengan trend ini semakin popular di peringkat global dan kami percaya pendekatan kami akan membezakan kami dengan syarikat lain selain mengekalkan momentum perkembangan syarikat," kata Liang Lee. - DagangNews.com