Inflasi dijangka terus meningkat, bersedia hadapi kenaikan OPR | DagangNews Skip to main content

Inflasi dijangka terus meningkat, bersedia hadapi kenaikan OPR

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Julai - Inflasi dijangka memuncak pada suku ketiga ini apabila harga komoditi mula mencatat penurunan, yang akan menyaksikan kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan lagi. 

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Nazmi Idrus mendapati harga minyak sawit mentah telah menyusut kira-kira 50% pada akhir Julai 2022 berbanding paras tertinggi yang direkodkannya pada April lalu.

 

Katanya, tekanan inflasi pada asas bulan ke bulan boleh meraih momentum dalam tempoh terdekat sebelum berkurangan apabila memasuki suku keempat 2022.

 

"Harga ayam mungkin memuncak pada Julai-Ogos memandangkan kerajaan telah menaikkan had harga ayam sebanyak 50 sen sekilogram dan telur sebanyak 2 sen sejak 1 Julai lalu.

 

"Satu lagi faktor penting ialah kos makanan ternakan berkemungkinan sederhana memandangkan harga jagung dan kacang soya jatuh dengan ketara, kira-kira 20 hingga 25% pada akhir Julai berbanding bulan sebelumnya.

 

"Selain itu, pemansuhan subsidi minyak masak botol sejak 1 Julai juga akan menyumbang kepada kenaikan harga komponen minyak dan lemak," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada Jumaat lalu menunjukkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Jun 2022 meningkat 3.4% tahun ke tahun kepada 127.4 berbanding 123.2 pada Jun 2021, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 sebanyak 1.9%.

 

 

ayam

 


Baca : Inflasi meningkat kepada 3.4% pada Jun 2022, harga makanan kekal jadi penyumbang utama

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks makanan meningkat 6.1% dan kekal sebagai penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan tersebut.

 

Komponen makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing naik 6.1% dan 6.6% yang mendorong kenaikan inflasi makanan.

 

Menurut Nazmi, peningkatan kukuh dalam inflasi teras yang didorong oleh makanan serta restoran dan hotel mencerminkan keadaan permintaan dalam negeri yang stabil bagi bulan tersebut.

 

"Kami melihat ini merupakan satu lagi faktor yang akan menyokong langkah normalisasi kadar oleh Bank Negara Malaysia (BNM), yang dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) dalam meyuaratnya September ini diikuti 2 lagi kenaikan pada separuh pertama 2023," jelasnya. 

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, tekanan inflasi dijangka berterusan dalam tempoh terdekat berikutan ketidaktentuan berterusan dalam rantaian bekalan global di tengah-tengah perang yang tidak berhenti antara Rusia dan Ukraine.

 

Di peringkat domestik pula, katanya, masalah kekurangan tenaga buruh dan permintaan pengguna yang meningkat juga boleh memberi tekanan kepada harga.

 

"Faktor-faktor ini, ditambah pula dengan kesan asas rendah mungkin mendorong kadar inflasi Malaysia menghampiri paras purata 5% pada suku ketiga 2022," katanya. 

 

Bagaimanapun, menurutnya, kenaikan OPR secara berturut-turut sebanyak 25 bps dan kejatuhan harga komoditi global seperti yang dibuktikan oleh penurunan indeks S&P GSCI dan Bloomberg Commodity mungkin membantu mengurangkan tekanan harga.

 

Jelasnya, selaras dengan normalisasi dasar monetari global, BNM mungkin terus mengetatkan dasar monetarinya dengan meningkatkan OPR sebanyak 50 bps dalam dua baki mesyuarat seterusnya tahun ini untuk mengekang permintaan barangan berskala besar.

 

"Namun, peningkatan risiko kemelesetan global mungkin menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia dan mendorong BNM untuk beralih kepada pendirian 'dovish'," jelasnya. - DagangNews.com