KUALA LUMPUR 26 Julai - Ingenieur Gudang Berhad kembali mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM234,000 bagi suku kedua berakhir 31 Mei 2023 (2QFY23) berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM1.06 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Kumpulan itu juga mencatatkan hasil sebannya RM4.57 juta berbanding RM1.78 juta pada tahun sebelumnya.
Kumpulan itu mencatatkan hasil yang lebih tinggi berbanding 2QFY22 disebabkan peningkatan kemajuan kerja dan projek baharu yang diperoleh dalam segmen pembinaan pada suku tersebut.
"Pada asas tahun ke tahun, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM12.94 juta dan keuntungan sebanyak RM4.24 juta bagi tempoh berakhir 31 Mei 2023 berbanding hasil sebanyak RM2.63 juta dan kerugian sebanyak RM1.55 juta bagi tempoh berakhir 31 Mei 2022," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan itu berkata, perolehan daripada segmen pembinaan meningkat sebanyak RM10.48 juta daripada RM880,000 kepada RM11.35 juta terutamanya disebabkan oleh lebih banyak projek yang dijamin dan kemajuan kerja yang lebih tinggi dalam tempoh kewangan.
Sebaliknya, segmen pelaburan hartanah mencatatkan hasil sebanyak RM1.59 juta dan keuntungan sebanyak RM2.51 juta.
"Peningkatan keuntungan itu disebabkan oleh keuntungan daripada pelupusan kilang Pulau Pinang dalam tempoh kewangan semasa," katanya.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu menjangkakan sektor pembuatan akan terus berkembang.
Katanya, bahagian pembinaan akan terus membida kontrak baharu untuk menambah baik hasil serta memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek untuk memastikan penyiapan dan penghantaran tepat pada masanya.
"Kami menjangkakan bahagian pelaburan hartanah kami akan menyaksikan hasil sewa yang lebih rendah pada tahun kewangan ini, memandangkan hartanah Pulau Pinang telah dilupuskan, sementara beberapa hartanah kami masih dalam pembinaan.
"Kami sentiasa optimis untuk mencatat pertumbuhan positif bagi tahun kewangan semasa," katanya. - DagangNews.com