KUALA LUMPUR 5 Ogos - Matrade akan menjadi tuan rumah kepada kira-kira 250 pembeli asing semasa Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) iaitu acara padanan perniagaan perdana yang dianjurkan setiap tahun sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, INSP MIHAS 2024 akan menampilkan barisan sekurang-kurangnya 250 pembeli antarabangsa, termasuk 20 pembeli premium dari kira-kira 40 negara.
Menurut beliau, 250 pembeli antarabangsa itu termasuk dari Eropah, Asia Selatan, China dan Asia Timur Laut, Asia Tengah dan Amerika.
Seramai 20 pembeli premium itu mewakili gergasi industri seperti pasar raya besar dan peruncit cawangan seluruh negara dari Amerika Syarikat (AS), India, United Kingdom, Taiwan, Hong Kong, Kazakhstan dan Uzbekistan.
Pembeli ini secara kolektif menjana pendapatan lebih daripada AS$60 bilion pada tahun 2023.
Menurut Mohd Mustafa, penyertaan 250 pembeli antarabangsa itu dijangka menjana potensi nilai penyumberan lebih RM1 bilion.
Selain itu, beliau turut berkata, INSP MIHAS 2024 ditetapkan untuk memudahkan sekurang-kurangnya 2,500 sesi pemadanan perniagaan.
“Tawaran perniagaan itu akan memberi impak besar kepada ekonomi domestik serta menyokong pengeksport dari segi mewujudkan peluang pekerjaan,” ulas beliau dalam kenyataan hari ini.
Mohd Mustafa juga turut menggariskan kepentingan program itu dalam mengukuhkan hubungan perdagangan antarabangsa, mengembangkan akses pasaran perniagaan Malaysia dan menyumbangkan kepada pembangunan rantaian bekalan global yang mampan.
“Ia mewakili komponen penting dalam usaha kami untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekosistem Halal antarabangsa,” katanya.
INSP MIHAS 2024 dianjurkan dalam mod hybrid berlangsung dari 15 Februari hingga 30 November 2024.
Sesi fizikal pula akan diadakan pada 18 September 2024 di Menara Matrade sempena MIHAS 2024 yang diadakan pada 17 hingga 20 September 2024 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Kata Matrade, program tahun ini akan menonjolkan kepakaran Malaysia merentasi 20 sektor yang pelbagai, pendekatan komprehensif itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran halal global.
Di samping itu, INSP edisi 2023 merekodkan jualan RM1.31 bilion daripada pembeli asing merentasi 44 negara.
INSP maya yang dianjurkan pada 2023 menyaksikan penyertaan 344 penjual Malaysia dan 270 pembeli asing dari 44 negara, manakala acara fizikal menarik 469 penjual Malaysia dan 231 pembeli asing termasuk 11 pembeli premium- DagangNews.com