Institut Juruaudit Dalaman Malaysia sambut baik pindaan Akta Audit baharu | DagangNews Skip to main content

Institut Juruaudit Dalaman Malaysia sambut baik pindaan Akta Audit baharu

Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 29 Julai - Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIA Malaysia) merakamkan penghargaan kepada Ketua Audit Negara Malaysia dan Jabatan Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi atas kelulusan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Audit yang merupakan penanda era baharu dalam kerja tadbir urus negara.

 

Menurut IIA Malaysia, pindaan pada akta tersebut akan memperkukuhkannya dengan peruntukan baharu memenuhi keperluan semasa. 

 

Antara peruntukan baharu dalam akta itu termasuk peningkatan peranan dan peluasan skop tugas diamanahkan kepada Ketua Audit Negara serta Jabatan Audit Negara. 

 

IIA Malaysia menggariskan kepentingan pendekatan komprehensif itu akan menjaminkan ketelusan kepada tadbir urus serta akauntabiliti negara.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jabatan Audit Negara kini boleh mengaudit syarikat yang memperoleh jaminan kerajaan persekutuan atau negeri

 

Selain itu, IIA Malaysia juga menegaskan bidang kuasa diamanahkan kepada Ketua Audit Negara adalah penting untuk menyarankan akauntabiliti, mencegah ketirisan dana awam, menggalakkan tadbir urus baik, melindungi kepentingan awam serta meningkatkan kebolehpercayaan dalam pengurusan dana awam. 

 

"Ia amat penting untuk Ketua Audit Negara diberi kuasa untuk mengakses dan mengaudit semua syarikat yang menerima jaminan atau peruntukan kewangan daripada kerajaan.  

 

"Lanjutan daripada pemeriksaan urusan kewangan dan operasi syarikat-syarikat ini, kerajaan mampu memberi jaminan kepada pembayar cukai dan pihak berkepentingan bahawa dana awam digunakan secara bertanggungjawab dan telus," ujarnya.

iktisad

Selaras dengan agenda Kerajaan Madani, langkah itu adalah bukti dalam mengesyorkan tadbir urus yang baik. 

 

Ia juga berkata pindaan akta itu amat kritikal dalam memastikan pengawasan efektif dan pengurusan bertanggungjawab sumber pembayar cukai.

 

Katanya, kali terakhir Akta Audit itu dipindakan adalah pada tahun 1991. 

 

Oleh itu, pengemaskinian terkini itu sejajar dengan peredaran waktu bagi keperluan semasa tadbir urus dan pengauditan. 

 

IIA Malaysia turut berkata, dengan pemindaan akta itu, negara kita akan lebih bersedia untuk menangani cabaran semasa serta memastikan proses audit  efektif dan berorientasikan masa hadapan.

 

Presiden IIA Malaysia, Mohd Khaidzir Shahari mengulaskan pencapaian itu adalah bukti dedikasi dan komitmen penuh Ketua Audit Negara dan Jabatan Audit Negara. 

 

"Pindaan ini akan membawa peningkatan yang signifikan dalam tadbir urus dan akauntabiliti negara kita. Kami berharap untuk menyaksikan kesan positif yang akan dibawa oleh perubahan ini pada sistem pengurusan kewangan awam kita," kata beliau. 

 

Di samping itu, Gabenor IIA Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Awam Institut Juruaudit Dalaman Global (IIA Global), Philip Rao menegaskan salah satu objektif syarikat itu adalah menyokong usaha advokasi berkaitan tadbir urus dan akauntabiliti sektor awam. 

 

IIA Malaysia juga percaya bahawa pindaan itu akan membuka jalan kepada rangka kerja tadbir urus lebih teguh yang memanfaatkan semua rakyat Malaysia. - DagangNews.com