Ismail Sabri calon PM selepas PRU15 adalah ketetapan MKT UMNO, tidak akan berubah - Anak Zahid  | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri calon PM selepas PRU15 adalah ketetapan MKT UMNO, tidak akan berubah - Anak Zahid 

DATUK NURULHIDAYAH AHMAD ZAHID
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Nov - Pengundi tidak perlu melayan provokasi dan persepsi yang dicetuskan musuh politik Barisan Nasional (BN) berhubung ketetapan Datuk Ismail Sabri Yaakob akan menjadi Perdana Menteri sekiranya BN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

Anak kepada Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, ketetapan Ismail Sabri sebagai PM selepas PRU15 itu sudah dinyatakan dengan jelas oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta telah dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

 

“Secara peribadi saya rasakan Ahmad Zahid sudah perjelaskan dengan sejelas-jelasnya sebelum penamaan calon lagi, yang mana MKT telah membuat ketetapan Ismail Sabri ialah calon PM yang dipilih UMNO dan dipersetujui MKT UMNO, ketetapan itu masih sama dan tidak berubah,” katanya selepas sidang akhbar MQ Technology Bhd. hari ini.

 

Beliau mengulas mengenai tindakan musuh BN yang terus memainkan sentimen dalam kalangan orang ramai kononnya satu undi mereka pada PRU15 bermaksud memberi undi kepada Ahmad Zahid untuk menjadi PM.

 

Sebelum ini, Ahmad Zahid dan Ismail Sabri serta beberapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO telah membuat kenyataan secara terbuka yang mana Ismail Sabri ialah 'poster boy' BN yang akan diangkat menjadi PM sekiranya BN memenangi PRU15.

 

Berhubung serangan berterusan pihak lawan BN yang masih memainkan sentimen itu, Nurulhidayah menegaskan, tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan BN untuk menangkis provokasi dan persepsi sedemikian daripada terus dimainkan musuh parti tersebut.

 

“Persepsi dan provokasi sebegini kita tidak boleh buat apa-apa, kita terus kekal dengan ketetapan itu, insya-Allah calon PM bagi BN masih lagi Ismail Sabri,” jelasnya. 

 

Pada Selasa, Ismail Sabri berkata, tiada perpecahan dan persengketaan berlaku dalam UMNO dan parti komponen, termasuk antara dirinya dan Ahmad Zahid Hamidi.

 

Malah beliau berkata, naratif yang dimainkan pembangkang bahawa calon Perdana Menteri daripada BN selepas PRU15 adalah Ahmad Zahid adalah fitnah, yang sengaja dibuat pembangkang untuk mengelirukan rakyat dan mewujudkan perpecahan dalam BN.

 

Sebelum ini, timbul isu 'satu undi BN = satu undi Zahid sebagai PM' iaitu dakwaan setiap undian kepada calon BN adalah undian untuk menjadikan Presiden UMNO itu yang juga calon BN di Parlimen Bagan Datuk, menjadi Perdana Menteri selepas PRU15. - DagangNews.com