AYER ITAM 9 Nov - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, layak menjadi Perdana Menteri pada masa depan.
Perdana Menteri berkata, sudah tentu Khairy perlu memenangi pilihan raya dan mendapat sokongan majoriti parti terlebih dahulu sebelum dilantik memegang jawatan berkenaan, lapor Berita Harian.
"Okay, memang doa untuk Khairy dan dia kata pun bukan sekarang, akan datang. Memang dia layak untuk menjadi Perdana Menteri akan datang.
"Kalau kita menang pilihan raya, dapat sokongan daripada parti, tentu sahaja Khairy antara seorang yang layak untuk menjadi Perdana Menteri suatu masa nanti," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Parlimen Ayer Hitam di Taman Suria di sini, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri mengingatkan rakyat supaya tidak terperangkap dengan permainan Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon Melayu daripada DAP.
Beliau berkata, walaupun calon PH itu berbangsa Melayu, pihak di belakangnya masih DAP.
"Saya nak maklumkan, sewaktu PH memerintah, Perdana Menterinya adalah (berbangsa) Melayu, tetapi ketika itu negara dikuasai oleh DAP, bukan Bersatu yang menjadi Perdana Menteri.
"Walaupun PH meletakkan wakil Melayu seperti di Parlimen Ayer Hitam tetapi di belakangnya adalah DAP. Ini bermakna satu undi untuk PH adalah satu undi untuk DAP. Jangan kita terperangkap dengan permainan mereka," katanya. - DagangNews.com