Ismail Sabri minta lima tahun lagi, bukti kemampuan tadbir negara | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri minta lima tahun lagi, bukti kemampuan tadbir negara

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 16 Nov - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta rakyat memberikan tempoh lima tahun lagi untuk membuktikan kemampuannya mentadbir negara menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

 

Sebagai Perdana Menteri dalam tempoh yang singkatpun, beliau telah membuktikan kebolehannya menangani pelbagai isu lebih-lebih lagi ketika mengambil alih tampuk pemerintahan saat negara sedang berdepan masa yang amat sukar susulan pandemik COVID-19, lapor BBC Portal.

 

“Kalau setahun empat bulan, saya boleh selesaikan pelbagai isu yang timbul, cuba bagi saya lima tahun, banyak yang saya boleh lakukan,” katanya pada Program Khas Bersama PM : Kestabilan dan Kemakmuran yang disiarkan beberapa stesen TV malam tadi.

 

Ketika ditanya soal kelebihannya sebagai calon perdana menteri berbanding tiga calon lain yang disebut-sebut, Ismail Sabri berkata rekodnya selama setahun empat bulan itu boleh menjadi kayu ukur.

 

“Mereka (rakyat) boleh mengambil contoh apa yang saya telah laksanakan. Gambaran pentadbiran yang saya akan buat selepas PRU ini sudah ada sebelum PRU lagi. Saya mengambil kerajaan ini dalam waktu yang sangat sukar.

 

“Kes COVID-19 24,000 sehari dengan ratusan yang meninggal setiap hari, katil ICU (unit rawatan rapi) hampir tak mencukupi, ekonomi dalam keadaan yang amat teruk kerana sektor ekonomi ditutup hampir sepenuhnya malah kestabilan politik langsung tidak ada.

 

“Tapi cuba lihat dalam setahun empat bulan ini, apa pencapaian yang saya lakukan. (Daripada)..kes COVID 24,000 sehari, akhirnya negara kita jadi antara yang terbaik peratusan tertinggi rakyat dapat vaksinasi,” katanya.

 

“Ekonomi memang teruk ketika itu tapi semalam Bank Negara Malaysia (BNM) isytihar KDNK suku ketiga kita mencapai 14.2% dan dari segi pengangguran kita dapat kurang sehingga 3.9%.

 

“Hari ini kita buktikan bahawa pemborongan dan peruncitan meningkat dengan begitu tinggi. Masalah ekonomi juga dapat diselesaikan. Menjadikan kita negara antara yang terbaik dari sudut KDNK.

 

“Kestabilan politik keadaan negara tak stabil ketika itu tapi saya berjaya stabilkan. Tak pernah berlaku dalam sejarah pembangkang dan kerajaan duduk satu meja tandatangan perjanjian malah undang-undang anti lompat parti diluluskan dengan tenang tanpa ada bantahan ketika waktu pentadbiran saya,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, menyentuh suasana panas ketika pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi PRU15 kali ini, Ismail berkata itu lumrah pilihan raya yang dihadapi semua parti.

 

“Dari soal pemilihan calon (PRU) tidak pernah sempurna daripada dulu pun. Memang akan ada yang tak puas hati. Itu lumrah pilihan raya yang semua parti hadapi bukan saja UMNO, tapi juga parti lain seperti DAP dan PKR.

 

“Tapi isu pemilihan calon UMNO dan BN selesai. Ramai yang layak bertanding tapi tak semua kita beri. Kita faham ada kecewa tapi selepas beberapa hari mereka akan kembali kepada parti. Saya ucapkan terima kasih pada Tan Sri Annuar (Musa) akhirnya kembali membantu kita di Ketereh. Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman juga bekerja keras untuk pastikan kemenangan kita di Pasir Salak,” katanya.

 

Akui kecewa apabila rakan-rakannya yang merupakan orang lama dalam parti digugurkan dalam pencalonan kali ini namun katanya beliau tidak boleh hanyut dalam kesedihan tersebut.

 

“Saya sedih dan agak kecewa kerana mereka rakan-rakan rapat saya. Saya kesal dan sedih tapi yang lebih penting bukan menangisi pemergian tersebut hingga kita tak buat kerja lagi. Apa yang penting kemenangan parti kita.

 

“Saya pujuk kawan-kawan saya dan beritahu mereka bahawa perjalanan kita masih jauh lagi. Kita ini daripada parti yang kalah pada PRU lalu dan kita bernasib baik menguasai kerajaan ini bukan melalui pilihan raya pun tapi melalui strategi.

 

“Kita nak dominan dalam kerajaan baharu, solidariti perlu diperkukuhkan dan fokus pada pilihanraya. Walau saya sedih dan kecewa kerana tindakan yang berlaku tapi tak halang kita untuk terus bergerak,” katanya. - DagangNews.com