Ismail Sabri tolak cadangan Anwar debat calon PM kerana tidak beri sebarang hasil | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri tolak cadangan Anwar debat calon PM kerana tidak beri sebarang hasil

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengadakan lawatan ke Bukit Aman, hari ini.

KUALA LUMPUR 25 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak cadangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya calon-calon Perdana Menteri berdebat secara terbuka sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

 

Beliau berkata, berkata debat bukan “bukan budaya kita” dan perbahasan disarankan tidak akan mendatangkan sebarang hasil.

 

Beliau berkata, Anwar hanya akan berjanji tentang manifesto ‘bulan dan bintang’ sekiranya diberi peluang berdebat.

 

Katanya, kerajaan dibentuk berdasarkan kepercayaan rakyat, bukan debat tidak mendatangkan hasil yang hanya berlangsung selama satu jam.

 

“Kalau kita bagi dia (Anwar) berdebat, dia pun akan sebut tentang janji manifesto dia, bulan bintang pun dia akan sebut waktu itu, tak perlu pun.

 

“Selama ini pun kita tak pernah berdebat sebelum pilihan raya kerana kita bentuk kerajaan berdasarkan kepercayaan rakyat, bukan berdasarkan satu jam debat tersebut rakyat yakin atau tidak kepada kita.

 

“Saya rasa tak perlu nak debat untuk pilihan raya kerana kita pun sibuk di kawasan masing-masing untuk berkempen dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat khas sempena PRU-15 di Bukit Aman, hari ini.

 

Terdahulu, Anwar berkata, perbahasan itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar, perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan dan menerusi langkah itu rakyat boleh menilai tentang soal hala tuju dan masa depan negara.

 

Anwar juga mencadangkan tiga calon Perdana Menteri dari PH, Perikatan Nasional (PN) dan BN mengadakan debat secara terbuka sempena PRU-15.

 

PH menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri manakala BN meletakkan Ismail Sabri.

 

PN pula mempertaruhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sekali lagi menjadi Perdana Menteri sekiranya gabungan itu berjaya memenangi PRU-15. - DagangNews.com