KUALA LUMPUR 19 Jun - Pameran pertahanan global, Eurosatory 2024 yang berlangsung di Paris, Perancis mempamerkan pelbagai kelengkapan dan persenjataan terkini yang relevan dengan konflik semasa.
Kebanyakan syarikat atau pempamer cenderung mengetengahkan pelbagai teknologi dron, sistem pertahanan udara jarak dekat, sistem artileri dan gajet peperangan elektronik.
Kelengkapan-kelengkapan ini menjadi trend dalam pertempuran berdasarkan konflik bersenjata di Ukraine.
Buat pertama kalinya firma-firma pertahanan Israel dihalang daripada menyertai acara itu kerana serangan berterusan di Gaza.
Sebanyak 74 firma Israel sepatutnya terlibat dalam Eurosatory 2024 berdasarkan komitmen yang telah diberikan sebelum berlakunya insiden serangan di Gaza.
Turut menerima sekatan sama ialah Rusia dan Belarus kerana perang yang berterusan di Ukraine.
Negara-negara Eropah mengimport hampir dua kali ganda daripada pasaran senjata dunia dengan sebahagian besarnya dibekalkan oleh Amerika Syarikat.
Sebaliknya, industri pertahanan Eropah menjadi pembekal kelengkapan dan sistem pertahanan ketiga terbesar pada pentas global.
Sejak konflik di Ukraine, Perancis telah mengatasi Rusia sebagai pengeksport senjata kedua terbesar di dunia.
Pameran Eurosatory yang diadakan setiap dua tahun menarik lebih 2,000 peserta pameran dari 61 negara dan pelbagai entiti.
Ini termasuk Suruhanjaya Eropah (EU) yang agak baharu kepada pameran itu berikutan peranan untuk meningkatkan strategi industri pertahanan kesatuan tersebut sejak perang di Ukraine.
Satu lagi inisiatif diperkenalkan ialah Dana Pertahanan Eropah (EDF) yang menyediakan geran kepada syarikat pertahanan dalam konsortium sekurang-kurangnya melibatkan tiga negara EU.
Ia satu medium untuk mengukuhkan syarikat dalam menghadapi pesaing industri pertahanan Amerika Syarikat.
Eurosatory 2024 turut menarik kehadiran delegasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila hadir pada pameran berprestij tersebut.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama delegasi pegawai-pegawai kanan melawat ruang pameran termasuk kunjungan eksklusif di beberapa firma pertahanan.
Antara yang menarik perhatian ialah sistem artileri Caesar 6×6 Mk II New Generation (NG) self-propelled howitzer (SPH) buatan Nexter, Perancis.
Sistem Caesar bersaing untuk memenangi kontrak hampir RM1 bilion bagi membekalkan meriam SPH Tentera Darat.
Firma Jerman, Rheinmetall mempamerkan sistem pelancar roket berganda GMARS yang dibangunkan dengan syarikat Lockheed Martin.
Pameran teknologi pertahanan seperti ini adalah platform terbaik buat para pemain industri pertahanan memperkenalkan teknologi baharu masing-masing.
Melalui lawatan ini para pemimpin pertahanan hadir bagi mencambahkan idea dan ilmu mengenai perkembangan semasa teknologi pertahanan.
Muhammad Hafizuddeain turut mengadakan kunjungan kormat ke atas rakan sejawatannya di Perancis, Jeneral Pierre Schill.
Dalam perjumpaan tersebut, kedua-duanya berkesempatan untuk membincangkan hala tuju hubungan bilateral antara Tentera Darat Malaysia dengan French Army.
Muhammad Hafizuddeain telah mengemukakan cadangan bagi mewujudkan Army to Army Staff Talk antara kedua-dua angkatan dengan perbincangan pada peringkat staf akan bermula pada tahun hadapan. - DagangNews.com