KUALA LUMPUR 5 Ogos - Isuzu Malaysia memperkenalkan Isuzu Insurance Pro yang menawarkan pemilik kenderaannya dengan pelan insuran menyeluruh yang memastikan perlindungan terbaik bagi kedua-dua pemilik dan juga kenderaan.
Pelan itu ditawarkan kepada semua pemilik lama dan baharu kenderaan Isuzu atau mereka yang memerlukan pembaharuan polisi insurans kereta.
Menurut kenyataan hari ini, syarikat pengeluar kereta itu berkata, Isuzu Insurance Pro bukan sahaja memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggannya, ia juga meliputi manfaat lain mengikut kelasnya.
Diselenggarakan oleh barisan panel dari lima syarikat insurans, Isuzu Insurance Pro melindungi semua model D-Max serta semua barisan trak tugasan ringan, sederhana dan berat seperti Elf, Forward, Giga dan Prime Mover.
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, pelan insurans itu menawarkan penyelesaian menyeluruh yang meliputi pelbagai kelebihan bagi memastikan semua pelanggan menerima perlindungan secara ekslusif serta pengalaman pemilikan kenderaan yang menenangkan.
Menurut Isuzu, antara manfaat tambahan itu termasuk kelulusan pantas bagi sebarang tuntutan bawah RM20,000; servis tunda percuma tanpa had bagi perjalanan pergi-balik sejauh 300 km untuk D-Max dan servis tunda percuma sebanyak tiga kali bagi perjalanan pergi-balik 100 km bagi modal trak Elf.
“Selain itu, insurans itu juga menawarkan perlindungan percuma kepada semua pemandu, memberikan elaun banjir, elaun kunci akibat kemalangan atau kecurian, serta menjaminkan perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM10,000 kepada kedua-dua pemegang polisi dan pemandu yang sah.
“Kelebihan lain pula termasuk bantuan tepi jalan yang beroperasi secara 24/7, pengecualian bagi betterment dan excess selama 10 tahun.
“Pemegang Insurans Pro itu juga dapat menikmat nilai dipersetujui sehingga 10 tahun bagi modal D-Max dan bagi tahun pertama bagi trak Isuzu yang lain,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Semua tuntutan insurans yang dibuat di bawah program Isuzu Insurance Pro juga akan menggunakan alat ganti tulen keluaran syarikat itu selagi kenderaan terbabit itu dihantar ke bengkel sah Isuzu untuk tujuan tuntutan.
Sementara itu, pembelian ke atas Isuzu Insurance Pro hanya boleh dibuat melalui pengedar sah Isuzu bermula 5 Ogos 2024.- DagangNews.com