KUALA LUMPUR 13 Julai - Kontrak mekanikal dan elektrikal (M&E) terkini yang diraih ITMAX Sytem Berhad di Hospital Pakar Segamat dijangka membuka peluang pekerjaan berterusan dalam ruang penjagaan kesiharan pintar.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kontrak bernilai RM40 juta itu adalah untuk tempoh setahun setengah bermula 1 Julai 2023 hingga 31 Disember 2024.
Ia dijangka diikuti dengan kontrak penyelenggaraan dengan tempoh perkhidmatan awal dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027, yang syaratnya akan dipersetujui melalui perjanjian tambahan selepas siap kerja-kerja awal M&E.
Firma itu difahamkan bahawa kerja-kerja M&E akan melibatkan pembinaan pusat pakar yang akan berfungsi untuk memodulasi pelbagai aspek perjalanan harian hospital termasuk pencahayaan, bekalan air dan kawalan iklim.
"Ramalan kami dikekalkan, tetapi apa yang positif ialah penembusan ke ruang penjagaan kesihatan pintar ini membuka jalan untuk kerja masa depan yang serupa, dengan Hospital Pakar Segamat berfungsi sebagai model kerja untuk hospital masa depan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu menganggarkan peningkatan 2% hingga 3% keuntungan bersih FY23/24 kumpulan daripada kerja-kerja M&E, tanpa mengambil kira potensi hasil penyelenggaraan.
Hospital Pakar Segamat kini dalam pembinaan dan kontrak yang baru ditandatangani adalah transaksi pihak berkaitan berulang hospital itu adalah anak syarikat Sena Healthcare Services, dimiliki sepenuhnya oleh Sena Holdings Sdn. Bhd. yang memegang 51.3% kepentingan dalam ITMAX.
Firma itu mengekalkan saranan "Beli" ke atas Itmax dengan harga sasaran (TP) RM1.71 sesaham. - DagangNews.com