KUALA LUMPUR 6 Ogos - Jati Tinggi Group Bhd (Jati Tinggi) menerima sub-kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM33.8 juta daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd (GESB).
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Jati Tinggi berkata sub-kontrak itu dianugerahkan kepada unitnya, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd (JTHSB) dalam penyediaan kerja penggerudian arah mendatar di Gombak, Selangor.
"Tempoh kontrak selama 198 hari itu akan bermula pada 1 Ogos 2024 dan dijangka siap pada 15 Feb 2025," ujar Jati Tinggi dalam pemfailan itu.
Di bawah kontrak tersebut, JTHSB dikehendaki mendepositkan bon prestasi berjumlah 5% daripada jumlah kontrak dalam tempoh 14 hari dari tarikh pemberian kontrak iaitu 5 Ogos 2024.
Selain itu, JTHSB juga dikehendaki membeli insurans kontraktor dan pampasan pekerja sebelum memulakan projek.
Jati Tinggi berkata, kontrak itu dijangka akan memberi sumbangan secara positif kepada pendapatannya.
Ini merupakan kemenangan kontrak keempat Jati Tinggi yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Disember 2023- DagangNews.com