Johor Plantations tanam 1,000 bakau di Pulau Tanjung Surat dalam misi 10 tahun, 1 juta pokok | DagangNews Skip to main content

Johor Plantations tanam 1,000 bakau di Pulau Tanjung Surat dalam misi 10 tahun, 1 juta pokok

Sukarelawan dari JPG, Yayasan JCorp, dan syarikat lain dalam Kumpulan JCorp menanam 1,000 pokok bakau di Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi, Johor, sebagai sebahagian daripada komitmen Kumpulan untuk melindungi biodiversiti dan ekosistem pantai.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Johor Plantations Group Berhad (JPG) menanam lebih 1,000 pokok bakau di Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi untuk tujuan pemulihan dan pemeliharaan ekosistem bakau  pantai itu.

 

Inisiatif tersebut dilakukan menerusi kerjasama Yayasan JCorp dan Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Pulau Tanjung Surat (PSHBTS).

 

Ia adalah sebahagian daripada kempen Satu Juta Akar untuk Masa Depan (1MRFF) yang dianjurkan oleh JPG, sejajar dengan komitmen Kumpulan itu untuk melindungi biodiversiti dan ekosistem bakau. 

 

Menurut JPG, ini merupakan tahun kedua Kumpulan itu melakukan inisiatif ini, dengan matlamat untuk menanam satu juta pokok dalam tempoh 10 tahun bagi menggalakkan kelestarian alam sekitar dan pengawasan aktif sumber asli dan biodiversiti.

 

Selain itu, JPG berkata, inisiatif bersama Yayasan JCorp itu sejajar dengan tujuan JCorp  menjadi penjaga sumber alam semula jadi melalui inisiatif memupuk dan menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang supaya mereka dapat terus meraih manfaatnya.

 

 

hhh
Sukarelawan dari JPG, Yayasan JCorp, dan syarikat lain menanam pokok bakau

 

 

Pengarah Urusan Johor Plantations Group, Mohd Faris Adli Shukery berkata, amalan pengurusan alam sekitar JPG termasuk meminimumkan impak alam sekitar dan memberi tumpuan kepada pemuliharaan habitat semula jadi negara.

 

 

“Program Penanaman Pokok kami di bawah 1MRFF bersasar untuk menanam sejuta pokok dari  2023 hingga 2033, termasuk di kawasan kritikal bagi meningkatkan ekosistem tapak, mewujudkan habitat untuk pelbagai spesies marin dan daratan, serta menguruskan kualiti air di kawasan tersebut. 

 

 

“Kami juga menyasarkan untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang akan turut membantu mengurangkan perubahan iklim,” ujar beliau dalam kenyataan media hari ini. 

 

 

Di samping itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman berkata, inisiatif itu sejajar dengan matlamat persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat melalui program pemulihan alam sekitar supaya yang lebih bersih untuk masyarakat setempat.

 

 

Melalui inisiatif itu, Yayasan JCorp menyumbang RM3,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tanjung Surat untuk menyokong pelajar dengan menyediakan sumber pembelajaran untuk meningkatkan pengalaman pendidikan.

 

 

Sementara itu, PSHBPTS yang terdiri daripada ahli masyarakat tempatan, memainkan peranan penting dalam kempen pemuliharaan bakau itu melalui penglibatannya dalam aktiviti pemuliharaan, termasuk penanaman bakau dan menyelenggara tapak semaian bakau di Tanjung Surat. - DagangNews.com