Jual polimer di bawah harga pasaran, CGS-CIMB jangka Petronas Chemicals Group catat kerugian pada suku kedua dan ketiga | DagangNews Skip to main content

Jual polimer di bawah harga pasaran, CGS-CIMB jangka Petronas Chemicals Group catat kerugian pada suku kedua dan ketiga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - CGS-CIMB Research menjangkakan kilang Petronas Chemicals Group Berhad di Pengerang akan mencatatkan kerugian pada suku kedua dan suku ketiga tahun ini akibat menjual polimer di bawah harga pasaran.

 

Firma itu berkata, tindakan yang dilakukan itu adalah untuk menghabiskan bekalan semasa fasa pentauliahan.

 

Katanya, selepas menjalankan pengembangan kapasiti pengeluaran bermula 2020 hingga 2023, akhirnya bekalan mencapai tahap yang baik namun permintaan lemah kesan daripada inflasi selain kenaikan kadar faedah.

 

"Consultancy Chemical Market Analytics (CMA) menjangkakan kadar operasi kilang global sekitar 81% untuk polyethylene (PE) dan 78% untuk  polypropylene (PP), yang paling rendah dalam beberapa dekad.

 

"Keadaan itu mengingatkan kepada krisis kewangan global pasca 2008 hingga 2009 apabila kadar purata penggunaan PE adalah 83% dari 2008 hingga 2013, manakala penggunaan PP adalah pada 84%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, CMA berkata, harga polyolefins yang diperbuat daripada PE dan PP adalah di paras terendah dan dijangka kembali pulih pada suku ketiga tahun ini.  

 

Katanya, berdasarkan data Bloomberg, harga PE dan PP, serta harga monoetilena glikol (MEG), berada pada/di bawah harga akhir 2022 pada pertengahan Julai 2023.

 

Firma itu berkata, kenaikan harga pada suku pertama tahun ini jangka pendek memberi laluan kepada kejatuhan berurutan pada suku kedua disebabkan aktiviti pengurangan stok yang aktif oleh pengeluar akibat permintaan akhir penggunaan global yang lemah.

 

"Bagaimanapun, CMA percaya bahawa permintaan penambahan stok semula China mungkin berlaku pada suku ketiga tahun ini sebagai persediaan untuk musim cuti akhir tahun.

 

"CMA bagaimanapun tidak optimis bahawa harga PE dan PP akan mendapat banyak manfaat disebabkan oleh kapasiti pengeluaran global yang berlebihan dan keadaan permintaan yang lemah secara keseluruhan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'kurang' dengan harga sasaran (TP) RM5.68 sesaham.- DagangNews.com