KUALA LUMPUR 13 Julai - Kenanga Research mengekalkan penarafan neutral terhadap sektor teknologi selepas Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global menyusut 10.3% pada 2023.
Firma itu berkata, keadaan itu ditambah dengan cabaran operasi berterusan yang dihadapi pengeluar akibat pemulihan pesanan yang kurang memberangsangkan.
Katanya, walaupun kategori semikonduktor dan optoelektronik dijangka mengekalkan pertumbuhan satu digit pada 2023, dengan anggaran masing-masing 5.6% dan 4.6%, ini mungkin akan diimbangi sepenuhnya oleh kategori lain yang dijangka merosot.
Firma itu berkata, dengan memberi tumpuan kepada penggiat industri di bawah liputan kami, kami mengetahui bahawa 1QCY23 membawa gelombang cabaran yang mungkin akan berterusan ke suku berikutnya.
Katanya, selain kemerosotan bermusim dalam pendapatan disebabkan hari bekerja yang lebih pendek semasa Tahun Baharu Cina, syarikat berdepan dengan pemulihan pesanan yang mengecewakan pada peningkatan tenaga kerja yang membawa kepada tekanan margin keuntungan.
"Keadaan itu diburukkan lagi dengan lonjakan kos elektrik baru-baru ini untuk kegunaan komersial, serta kenaikan gaji pekerja asing.
"Pemain industri kini sedang berusaha untuk merasionalkan kos operasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, sebagai usaha memerangi hakisan margin keuntungan pemain industri akan mengutamakan pelaksanaan langkah-langkah yang bertujuan untuk mengurangkan cabaran tersebut.
Sebagai contoh, Malaysian Pacific Industries Berhad (underperform; TP: RM15.26) membuat keputusan untuk menangguhkan penyiapan kilang baharunya di China buat kali kedua.
Sementara itu D & O Green Technologies Berhad (underperform; TP: RM2.68), dengan 50% hasil yang dijana dari China, telah memberi amaran tentang pemulihan yang lebih perlahan daripada jangkaan di negara itu, yang terus memberi tekanan ke atas pendapatan mereka.
"Sekiranya tidak berjaya, syarikat mungkin terpaksa melaksanakan langkah penjimatan kos dengan tidak memperbaharui permit untuk sebahagian pekerja asingnya yang kini kurang digunakan akibat pemotongan pesanan oleh pelanggan sedia ada.
"Akibatnya, pendapatan pada suku akan datang dijangka kekal lemah, dengan hanya sedikit peningkatan," katanya. - DagangNews.com