Jumlah penumpang di seluruh negara dijangka meningkat hingga 28% sempena musim haji - MAHB | DagangNews Skip to main content

Jumlah penumpang di seluruh negara dijangka meningkat hingga 28% sempena musim haji - MAHB

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Kemasukan penumpang semasa musim haji tahun ini dijangka menyumbang kepada peningkatan jumlah pergerakan penumpang bulan ke bulan untuk Malaysia antara 12% hingga 28% dari Mei hingga Julai 2023. 

 

Malaysia Airports (MAHB) dalam kenyataan hari ini berkata, bagi April 2023, rangkaian lapangan terbang tempatan  mencatatkan sejumlah 6.3 juta pergerakan penumpang atau hampir 70% daripada jumlah pergerakan penumpang global kumpulan sebanyak 9.13 juta penumpang. 

 

Katanya, lapangan terbang tempatan masing-masing mencatatkan 2.8 juta pergerakan penumpang antarabangsa dan 3.5 juta pergerakan penumpang domestik. 

 

"Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menunjukkan peningkatan paling ketara dalam pergerakan penumpang antarabangsa sebanyak 20% berjumlah 18,086 penumpang berbanding bulan sebelumnya. 

 

"Ini disebabkan oleh peningkatan 34% dalam pergerakan pesawat kepada 155 yang dicatatkan berbanding Mac 2023, kerana kedua-dua AirAsia dan Scoot menyediakan frekuensi tambahan dari setiap hari kepada dua kali sehari dari Singapura ke pulau itu," katanya.

 

Menurut MAHB, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (SAW) di Türkiye merekodkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 2.8 juta pada April, yang konsisten dengan prestasinya pada Mac walaupun dalam tempoh berpuasa. 

 

Katanya, pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik juga masing-masing mencatatkan 1.5 juta dan 1.3 juta penumpang.

 

Sementara itu, MAHB beroperasi pada kapasiti penuh untuk memudahkan jemaah haji di rangkaian lapangan terbangnya di seluruh negara, selepas penerbangan untuk musim haji telah berlepas sejak 21 Mei 2023.

 

Katanya, pengendali lapangan terbang itu menjangkakan lebih 31,600 jemaah akan melalui lapangan terbangnya pada musim haji ini. 

 

"Sementara itu, sebanyak 114 penerbangan sewa khas oleh Malaysia Airlines dan Saudi Airlines akan digunakan untuk menerbangkan semua jemaah haji Malaysia ke Arab Saudi," katanya.

 

Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, pelan operasi pihaknya untuk musim haji adalah menyeluruh kerana mereka berhasrat untuk memberikan pengalaman lapangan terbang terbaik untuk jemaah haji. 

 

Katanya, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi meneruskan inisiatif laluan Makkah yang mana jemaah Haji Malaysia menikmati pra-pelepasan imigresen Arab Saudi di Terminal 1 KLIA itu sendiri, sekali gus mengurangkan masa menunggu mereka apabila sampai ke destinasi mereka. 

 

"Kami telah menyediakan ruang istirahat khusus di Pintu C16 dan C17 untuk proses pra-pelepasan ini yang dikendalikan oleh pegawai imigresen dari kedua-dua negara," katanya. - DagangNews.com