Juwai IQI unjur pelaburan korporat dari China bagi 2023 adalah 3% hingga 5% lebih tinggi berbanding tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Juwai IQI unjur pelaburan korporat dari China bagi 2023 adalah 3% hingga 5% lebih tinggi berbanding tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Juwai IQI mengunjurkan pelaburan korporat China yang diluluskan atau pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia bagi tahun ini adalah sekurang-kurangnya 3% hingga 5% lebih tinggi daripada 2022.

 

Pengasas Bersama Juwai IQI dan Pengarah Urusan Kumpulan, Daniel Ho berkata, pada tahun lalu, pelaburan itu bernilai bersamaan 3.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. 

 

Katanya, jumlah itu jauh lebih tinggi daripada purata 10 tahun dan purata pra-COVID-19 iaitu masing-masing 3.2% dan 3.1%.

 

Beliau berkata, kelulusan untuk pelaburan masuk dari semua negara mencecah RM264 bilion pada 2022 dan China merupakan pelabur utama dengan menyumbang RM55.4 bilion.

 

"China melabur hampir dua kali ganda dalam ekonomi Malaysia tahun lepas berbanding pelabur kedua terbesar, Amerika Syarikat (AS).

 

"Kebanyakan pelaburan yang diluluskan adalah dalam kategori maklumat dan komunikasi, perlombongan, peralatan pengangkutan dan bahan kimia.

 

juwai
Daniel Ho

 

"Jumlah pelaburan tahun ini bergantung kepada pelaburan yang dirancang diluluskan, jadi bilangan untuk tahun itu mungkin lebih tinggi atau lebih rendah tanpa menjejaskan fakta bahawa arah aliran jangka panjang adalah menaik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Daniel berkata, pelaburan rentas sempadan melibatkan pasaran baharu, peraturan dan persekitaran kompetitif.

 

Katanya, kepakaran global Juwai IQI  adalah bagi menyediakan syarikat China platform yang berkuasa untuk membantu pelabur.

 

"Kami boleh membantu mereka membangunkan strategi pelaburan dan perniagaan mereka, mengenal pasti peluang dan merundingkan transaksi.

 

"Pasukan kami telah memudahkan pelaburan China sejak 2011. Rekod prestasi kami, keupayaan dan hubungan yang terjalin di China dan pasaran destinasi menjadikan kami rakan kongsi yang sempurna," katanya. - DagangNews.com