KUALA LUMPUR 11 Julai - Kadar pengangguran di negara ini diunjur kekal pada paras 3.5% (2022: 3.8%) dan menyusut kepada 3.4% pada 2024.
Kenanga Research menjangkakan, pasaran tenaga kerja kekal kompetitf sepanjang tahun ini berbanding tahun lalu.
"Kadar pengangguran kekal stabil sejak beberapa bulan lalu dengan pertumbuhan guna tenaga yang mampan dan tahap rekod kadar penyertaan tenaga kerja yang disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, bilangan penganggur terus menurun kepada 584,600 orang dengan kadar pengangguran 3.5% pada Mei 2023 berbanding 586,900 orang bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dari segi prestasi keseluruhan bagi Mei 2023, DOSM berkata pasaran buruh dilihat terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil, mencerminkan peningkatan bilangan tenaga buruh berikutan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun.
BACA JUGA: Bilangan penganggur terus menurun kepada 584,600 orang pada Mei 2023 – DOSM
DOSM melaporkan bahawa bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut terus mencatatkan trend menaik, dengan peningkatan 0.2% kepada 16.86 juta orang berbanding 16.84 juta orang dalam April 2023 dan kadar penyertaan tenaga buruh Mei kekal pada 70% seperti pada bulan sebelumnya
Berdasarkan keadan itu, firma itu mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun ini berkembang sebanyak 6% (separuh pertama 2023: 5.8%).
Namun begitu, di sebalik kelembapan pertumbuhan global yang semakin hampir, firma itu mengunjurkan pertumbuhan menjadi lebih perlahan pada separuh kedua (3.6%; separuh pertama 2023: 5.8%).
"Tanpa keadaan luar jangka, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2023 pada 4.7% (2022: 8.7%)," katanya.- DagangNews.com