Kakitangan positif COVID-19 tidak jejas ramalan EPS Top Glove | DagangNews Skip to main content

Kakitangan positif COVID-19 tidak jejas ramalan EPS Top Glove

Top Glove

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Laporan yang mengesahkan seramai 17 kakitangan syarikat Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) positif COVID-19 dilihat tidak akan menjejaskan ramalan jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat berkenaan untuk tahun kewangan 2021 hingga 2023.

CGS-CIMB Research berkata, keadaan itu dilihat berdasarkan kepada maklumat syarikat berkenaan yang tidak menjangkakan apa-apa kesan dalam pengoperasinnya.

"Kami menjangkakan kesan minimum terhadap ramalan EPS untuk tahun kewangan 2021 hingga 2023. Oleh itu, kami tidak membuat perubahan terhadap ramalan EPS Top Glove.

"Ini berdasarkan kepada maklumat yang diterima termasuk kenyataan oleh syarikat berkenaan yang tidak menjangkakan apa-apa kesan dalam operasinya.

"Bagaimanapun, kami berpandangan bahawa keadaan tidak akan bertambah buruk seperti peningkatan jumlah kes COVID-19 dalam kalangan pekerjanya. Jika ini berlaku, kami tidak menolak kemungkinan akan adanya potensi gangguan operasi kilangnya di Klang, Selangor," jelas CGS-CIMB Research.

Semalam, DagangNews.com melaporkan seramai 17 kakitangan Top Glove disahkan positif COVID-19 sejak Januari 2020.

Jumlah tersebut adalah kurang daripada 0.1% daripada 21,000 keseluruhan jumlah tenaga kerja kumpulan tersebut.

Baca: 17 kakitangan Top Glove positif COVID-19 sejak Januari 2020 

Berdasarkan laporan CGS-CIMB Research juga, kakitangan yang terlibat itu adalah pekerja di kilang Top Glove yang terletak di Meru, Klang, Selangor.

Kilang tersebut dianggarkan mempunyai seramai 8,000 pekerja yang merangkumi sebanyak 38% daripada keseluruhan tenaga kerja syarikat berkenaan.

Susulan perkembangan yang masih terkawal itu, CGS-CIMB Research memutuskan untuk mengekalkan saranan 'tambah' saham Top Glove dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM10.00.

"Kami terus memilih Top Glove kerana syarikat berkenaan menerima permintaa sarung tangan yang tinggi susulan wabak COVID-19 memandangkan kedudukannya sebagai syarikat pembuat sarung tangan terbesar dunia," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com