Kenanga beli 8% saham firma fintech Singapura, Helicap bagi majukan inisiatif pendigitalan | DagangNews Skip to main content

Kenanga beli 8% saham firma fintech Singapura, Helicap bagi majukan inisiatif pendigitalan

Dari kiri : Ketua Pegawai Kewangan & Operasi Kumpulan, Kenanga Investment Bank Berhad, Cheong Boon Kak; Pengarah Urusan Kumpulan, Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong; Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif, Kenanga Investors Berhad, Datuk Wira Ismitz Matthew De Alwis; Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Eksekutif, Helicap Securities, David Z Wang; Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Pelaburan, Helicap Investments, Quentin Vanoekel
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept - Kenanga Investment Bank Berhad melalui pengurusan aset dan kekayaannya, Kenanga Investors Berhad membeli saham sebanyak 8% firma fintech  Singapura, Helicap Pte Ltd bagi memajukan inisiatif pendigitalan Kumpulan.

 

Helicap, salah satu platform pelaburan swasta fintech pertama mengkhusus dalam ruang pinjaman alternatif di Asia Tenggara (SEA) terutama enjin analitik kredit proprietarinya.

 

Pelaburan membentuk pusingan pembiayaan Siri B Helicap menjadikan Kumpulan itu sebagai pelabur utama bersama Saison Capital Pte Ltd, cabang modal teroka korporat Credit Saison, salah satu syarikat kewangan bukan bank terbesar Jepun yang disenaraikan di Bursa Saham Tokyo.

 

Menurut Kenanga, saham Kumpulan akan terus meningkat dalam masa terdekat kepada kira-kira 10%, menjadikannya sebagai pelabur institusi terbesar di Helicap.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, dengan memberi tumpuan kepada inovasi digital, Kumpulan itu  membolehkan pelanggannya melibatkan diri dengan perkhidmatannya dengan lebih cekap dan berkesan.

 

"Teknologi proprietari Helicap berpotensi diserapkan ke dalam perniagaan pinjaman dan perbankan pelaburan Kenanga sendiri dengan lancar bagi menyediakan ketelusan dan analisis buku pinjaman yang lebih besar, memantau risiko portfolio, kredit serta butiran data untuk mengenal pasti peluang yang baru muncul dan mendapatkan pandangan mikroekonomi," ujar beliau.

 

Katanya, pelaburan tersebut dibina di atas inisiatif pendigitalan Kumpulan yang lebih luas, berikutan kejayaan pelaburannya ke dalam Rakuten, CapBay, Tokenize Malaysia dan Merchantrade.

 

"Pelaburan berikutan pelancaran suite produk terbaharu Kenanga Investors iaitu 'the Kenanga Alternative Series', yang dilancarkan bersama pengenalan 'the Kenanga Alternative Series:Income Opportunities Fund' pada Julai 2024.

 

"Ia menyalurkan kepada Helicap Income Opportunities Fund, sebuah syarikat terbuka. Dana kredit swasta Asia," ujar Kumpulan itu. 

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Datuk Wira Ismitz Matthew De Alwis mengulas mengenai hubungan yang diperluaskan dengan Helicap melalui perkongsian itu.

 

“Perkongsian kami bersama Helicap akan membolehkan kami memanfaatkan rangkaian globalnya sebagai sumber modal luar pesisir serta memudahkan usaha pemulaan bersama urus niaga dan sindikasi di Singapura dan Malaysia.

 

Kumpulan itu turut berkata, daripada perspektif firma fintech, kerjasama itu akan menyepadukan kekuatan Helicap dalam kredit persendirian dengan lancar dengan pengiktirafan jenama dan keupayaan operasi Kumpulan Kenanga. 

 

Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Eksekutif Helicap Securities, David Z Wang berkata, kerjasama itu melambangkan pencapaian penting Kumpulan bagi memacu pertumbuhan di Malaysia. 

 

"Komitmen kami terhadap rangkuman kewangan dan penyelesaian pelaburan yang inovatif kekal tidak berbelah bahagi, sambil kami terus menangani keperluan dinamik pelabur dan pemberi pinjaman,” ujar Wang. - DagangNews.com