KUALA LUMPUR 2 Jun - Kenanga Research menjangkakan prospek HIL Industries Berhad kekal tidak menentu dengan tekanan makroekonomi global memberi bayangan masa depan yang mencabar.
Firma itu berkata, segmen hartanah kumpulan itu terus bergelut dengan kenaikan akdar faedah dan kos pembinaan yang memberi kesan kepada jualan yang lebih perlahan untuk projek pembangunan mereka.
"Kami percaya sentimen yang menyelubungi pasaran hartanah boleh menjadi lebih lemah dalam jangka masa terdekat kerana kebimbangan kemelesetan boleh menjejaskan komitmen pengguna terhadap pembelian besar seperti hartanah.
"Pada masa sama, bahagian pembuatan kumpulan terus menunjukkan prestasi yang baik kerana pesanan automotif tertunggak dari FY22 berlanjutan ke FY23.
"Bagaimanapun, kami melihat kumpulan ini keterlihatan pendapatan kumpulan ini bagi separuh kedua 2023 agak mencabar," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, pendapatan kumpulan itu bagi 1QFY23 agak mengecewakan hanya menyumbang 21% masing-masing untuk unjuran tahunan dan anggaran kosensus tahunan.
Firma itu percaya varians terhadap unjuran mereka sebahagian besarnya berpunca daripada keuntungan segmen hartanah yang lebih lemah daripada jangkaan.
Sementara itu, firma itu berkata, margin bagi segmen automotif adalah rendah terutama apabila jumlah pengeluarannya rendah.
"Sekiranya tempahan automotif gagal bertahan sehingga FY24, kumpulan itu akan berdepan tekanan margin keuntungan," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 78 sen lebih rendah berbanding 81 sen sesaham. - DagangNews.com