Kenanga Research 'neutral' terhadap sektor penerbangan dipacu peningkatan kehadiran pelancong | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research 'neutral' terhadap sektor penerbangan dipacu peningkatan kehadiran pelancong

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Kenanga Research kekal 'neutral' terhadap sektor penerbangan dan menjangkakan pemulihan perjalanan udara akan terus dipacu oleh peningkatan kehadiran pelancong dalam segmen perniagaan dan riadah.

 

Firma itu berkata, berdasarkan unjuran Tourism Malaysia, sejumlah 16.1 juta pelancong tiba pada tahun ini atau peningkatan 60% daripada 10.1 juta pada tahun lalu.

 

Katanya, pemacu utama ialah pelancong China yang sebelum menyumbang 12% daripada jumlah ketibaan pelancong di Malaysia. 

 

"Kami menjangkakan perjalanan udara perniagaan dan riadah akan terus pulih sepanjang tahun ini dan bersedia untuk kembali ke tahap pra pandemik pada 2024.

 

"Pada 2024, kami mengunjurkan ketibaan pelancong meningkat sebanyak 24% kepada 20 juta berbanding paras pra pandemik sebanyak 26 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, unjuran itu seharusnya menyokong pertumbuhan penumpang Malaysia Airports Holdings Berhad pada 2023.

 

Katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyaksikan kepulangan Kuwait Airways selepas penamatan tujuh tahun, manakala dua lagi syarikat penerbangan asing iaitu KLM Royal Dutch Airlines dan All Nippon Airways, masing-masing akan meneruskan operasi penerbangan tanpa henti ke Amsterdam dan Tokyo, selepas menghentikan sementara operasi kerana kepada pandemik COVID-19.

 

Selain itu, Malaysia Airlines telah meningkatkan kekerapan penerbangannya ke Tokyo mulai November 2022. 

 

"Sementara itu, AirAsia menumpukan pada operasi jarak sederhananya dengan meningkatkan penerbangan Malaysia AirAsia X kepada 44 setiap minggu merentasi 10 laluan mulai November 2022," katanya.

 

Firma itu berkata, Capital A Berhad menjangkakan permintaan penumpangnya akan terus meningkat pada penghujung 2023, berdasarkan faktor muatan menggalakkan yang direkodkan di 159 laluan antarabangsa.

 

Kumpulan itu telah mengaktifkan semula 157 pesawat pada suku pertama tahun ini dengan rancangan untuk mengagihkan semula pesawat ke negara yang mempunyai permintaan yang lebih kukuh.

 

"Menjelang akhir 2023, kumpulan itu menyasarkan untuk menempatkan kesemua 215 pesawatnya untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.

 

"Walaupun kami menyukai Capital A kerana menjadi penerima manfaat pemulihan dalam perjalanan udara apabila wabak berakhir, kami sedar ia masih berada di bawah status Nota Amalan 17 (PN17)," katanya. - DagangNews.com