Kenanga Research positif terhadap penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Kenanga Research positif terhadap penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta berdasarkan perbelanjaan global yang semakin meningkat yang diunjur mencecah AS$10 trilion menjelang 2026.

 

Firma itu berkata, perbelanjaan penjagaan kesihatan meningkat daripada AS$8.4 trilion pada 2022, mewakili kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 3.5% dalam tempoh lima tahun.

 

Katanya, peningkatan permintaan itu adalah kesan daripada peningkatan penyakit kronik di seluruh dunia.

 

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan bahawa hampir separuh daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan global akan dibelanjakan untuk tiga punca utama kematian iaitu penyakit kardiovaskular, kanser dan penyakit berkaitan pernafasan.

 

"Kami menjangkakan pesakit domestik dan antarabangsa, dan intensiti hasil akan terus mendapat momentum bergerak ke separuh kedua tahun ini didorong oleh kembalinya pembedahan elektif dalam tempoh segera, manakala prospek jangka panjang penjagaan kesihatan swasta disokong oleh peningkatan kemewahan dan populasi yang semakin tua.

 

"Kami mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengunjurkan pertumbuhan pesakit dan intensiti hasil IHH Healthcare Berhad (Outperform; TP: RM7.00) untuk memacu pendapatan 2023 atas permintaan yang berterusan untuk pembedahan elektif.

 

Untuk 2023, kami menjangkakan pendapatan IHH bagi setiap pesakit dalam pertumbuhan 10%-15% (berbanding 18% pada 2022 disebabkan kesan asas yang rendah pada 2021), pertumbuhan daya pengeluaran pesakit dalam sebanyak 10%-15% (berbanding 10% pada 2022) dan kadar penghunian katil (BOR) 60%-73% (berbanding 56%-70%% pada 2022) untuk hospitalnya di Malaysia, Singapura, India dan Turki.

 

Bagi KPJ Healthcare Berhad, firma itu menjangkakan daya pengeluaran pesakitnya meningkat 14% (berbanding 12% pada FY22) dengan BOR sebanyak 70% (berbanding 58% pada 2022) dipacu oleh pemulihan dalam permintaan untuk perkhidmatannya, khususnya, bukan berkaitan COVID-19 termasuk pembedahan elektif.- DagangNews.com