KUALA LUMPUR 18 Julai - Kenanga Research menyemak turun jangkaan purata dagangan harian (ADV) 2023 Bursa Malaysia Berhad kepada RM2.08 bilion berbanding unjuran awal sebanyak RM2.21 bilion.
Firma itu berkata, unjuran itu dibuat selepas keputusan yang sangat mengecewakan ada suku kedua tahun ini dan atas dasar itu mereka juga menyemak turun unjuran ADV suku ketiga tahun ini kepada RM2 bilion berbanding RM2.2 bilion kerana kelamahan dagangan mungkin berlaku.
Keadaan itu bagaimanapun katanya, mungkin diimbangi oleh pengurangan duti setem kerajaan baru-baru ini kepada 0.1% (daripada 0.15%, dihadkan pada RM1,000 setiap kontrak) yang boleh memberi insentif kepada penyertaan runcit yang lebih tinggi.
"Kami menjangkakan tekanan menurun akan menjadi agak terhad pada masa hadapan apabila prospek makro semakin stabil.
"Pada masa yang sama, Bursa Malaysia terus membangunkan aliran hasil bukan perdagangan untuk mempelbagaikan operasinya.
"Pada suku keempat, kami kekal dengan unjuran ADV sebanyak RM2.4 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu menjangkakan peningkatan progresif dalam sentimen pasaran serta aktiviti perdagangan.
Pada masa sama, Pilihan Raya Negeri (PRN) juga akan memberi kesan kepada aktiviti pasaran.
"Kami menyemak turun unjuran pendapatan FY23 sebanyak 3% disebabkan oleh input ADV yang lebih lemah seperti yang dinyatakan.
"Unjuran pendapatan sebelum cukai kami yang dikemas kini kekal dalam sasaran FY23 kumpulan sebanyak RM295 juta hingga RM326 juta," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM6.25 sesaham. - DagangNews.com